Mior Faridalathrash.

KUALA LUMPUR – Suspek lelaki yang ditahan polis selepas disyaki membunuh secara kejam dan mengerat ibu kandungnya kepada 15 bahagian dipercaya akibat tidak berpuas hati pembahagian harta pusaka mendiang bapanya dalam kejadian si Taman Kerian,Parit Buntar Perak semalam berjaya direman polis.

Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu warga tempatan berusia 42 tahun itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pagi tadi.

“Mahkamah menerima permohonan polis dan suspek telah dibenarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu 8 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bau busuk bongkar kes lelaki bunuh, kerat mayat ibu

Anak kerat ibu 15 kerana tak puas hati pembahagian harta pusaka

Mior menambah, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya hasil bedah siasat ke atas simati di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini mendapati punca kematian mangsa berusia 68 tahun itu disebabkan oleh luka tetak dan potong di pelbagai bahagian badan.

Badan mangsa telah dipotong oleh suspek hingga terputus kepada 15 bahagian termasuk kepala, tangan, kaki dan organ badan yang lain pada hari kejadian iaitu pada 28 Mei yang lalu di rumahnya.

Kes pembunuhan kejam membabitkan wanita warga emasĀ  tempatan itu terbongkar selepas jiran mangsa terhidu bau busuk teruk dari rumah dua beranak itu sebelum melaporkannya kepada polis jam pukul 3.30 petang, semalam.

Dalam kenyataan lewat malam tadi, Mior mengesahkan penahanan suspek selepas pemeriksaan lanjut polis dari IPK Perak di lokasi berjaya menemui bahagian badan manusia yang dikerat dan disimpan dalam lubang tangki kumbahan dengan ditutup papan lapis, di bahagian belakang rumah si mati.

Polis juga berjaya merampas senjata parang yang disyaki digunakan suspek untuk membunuh ibu kandungnya itu dengan kejam di rumahnya. – MalaysiaGazette