Shahril Hamdan ketika berucap pada Permukiman Penerangan ke arah PRU15.

KUALA LUMPUR – UMNO wajar menggunakan pelbagai kaedah dan mengaplikasi kekuatan parti untuk mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, kata Ketua Penerangan, Shahril Hamdan.

“Sewajarnya UMNO menggunakan pelbagai kaedah dan mengaplikasi kekuatan parti untuk mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan setiap pimpinan parti dalam semua peringkat ada kaedah dan kemampuannya.

“Kita harus gembleng kaedah ini supaya masing-masing boleh jaga ‘market’ yang berbeza. Itu kekuatan UMNO berbanding dengan parti lain. Parti lain hanya satu cara saja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi bicara ekonomi rakyat sempena Pemukimam Penerangan UMNO Malaysia di Pahang, semalam.

Permukiman tiga hari di Pusat Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) itu melibatkan Ketua-ketua Penerangan peringkat negeri serta bahagian dari seluruh negara dan dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan UMNO berharap, jentera penerangan tidak memandang rendah terhadap anak muda yang sering berbicara di media sosial dan seharusnya memberikan fakta, bukannya retorik semata-mata.

“Kita tidak boleh main retorik dan main sentimen. Kita perlu ada satu tawaran memperbaiki ekonomi untuk rakyat terutamanya golongan muda.

“Oleh itu, jangan pandang enteng dengan kumpulan anak muda ini sebab mereka akan berbicara dalam media sosial dan boleh mempengaruhi keluarga masing-masing, malah ini pernah berlaku pada PRU 14,” katanya.

Beliau juga turut meminta jentera parti tidak membantai pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri kerana Perdana Menteri itu adalah wakil dari UMNO.

“Sebenarnya, BN lebih baik daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN),” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast