Ketua Jurulatih Pasukan Malaysia, Kim Pan Gon bercakap kepada sidang media menjelang aksi Pusingan Kelayakan Kumpulan E Kejohanan Piala AFC Asian 2023 di Dorset Grand Subang, Subang Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 JUN 2022.

SUBANG – Harimau Malaya dijangka mempamerkan corak permainan pantas ketika bertemu Turkmenistan pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon berkata, semua persiapan telah dilakukan termasuk analisis taktik permainan pasukan lawan.

“Saya akui perlawanan esok akan bertambah sengit memandangkan kedua-dua pasukan mempunyai misi wajib menang untuk merebut tiga mata pertama untuk meningkatkan semangat dan peluang.

“Kami sudah lama menunggu perlawanan. Saya rasa kami juga sudah cukup bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik kepada penyokong Malaysia dan capai keputusan positif dalam perlawanan ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Pan Gon, beliau akan memberi tumpuan kepada satu perlawanan dalam satu masa.

Sementara itu, pemain pertahanan, Dion Cools berkata, kelebihan fizikal yang dimiliki pemain Turkmenistan tidak akan menjejaskan mutu permainan pasukan negara.

“Sebaliknya kami hanya perlu memberikan fokus terbaik untuk menang perlawanan malam esok. Apa yang kami tahu ialah kami mahu fokus untuk raih tiga mata,” ujarnya.

Malaysia akan bertemu Bahrain yang merupakan pilihan juara kumpulan E pada 11 Jun sebelum melengkapkan jadual perlawanan bertemu Bangladesh pada 14 Jun. – MalaysiaGazette