Sebahagian orang asli dari suku kaum Temiar memegang kain rentang sebagai tanda bantahan pembinaan empangan hidroelektrik di Sungai Nenggiri, Gua Musang, Kelantan yang mewakili suara lebih 3 ribu orang asli daripada 17 wilayah semasa hadir untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan TNB ketika di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2022.

PUTRAJAYA — Orang Asli Kelantan hari ini membantah pembinaan projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang yang mana majlis pecah tanah dijadual diadakan pada pertengahan Jun ini.

Rata-rata mereka yang ditemui sewaktu menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, melahirkan rasa tidak puas hati terhadap projek yang pernah dibantah sebelum ini.

Memorandum tersebut disampaikan kepada Pegawai Khas Perdana Menteri, Mohd Faizal Safar.

Mereka yang diketuai Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along, turun ke lapangan mewakili suara lebih 3,000 Orang Asli daripada 17 wilayah di Kelantan yang bimbang terhadap projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu didakwa boleh menenggelamkan 5,384 hektar kawasan tanah adat dan wilayah Orang Asli di sekitar daerah di Kelantan.

Penduduk juga bimbang akan keselamatan empat penempatan Orang Asli yang bakal terjejas secara langsung dan tenggelam sepenuhnya.

Penghulu Pos Pulat, Batin Majid Busu berucap mengenai bantahan pembinaan empangan hidroelektrik di Sungai Nenggiri, Gua Musang, Kelantan yang mewakili suara lebih 3 ribu orang asli daripada 17 wilayah semasa hadir untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan TNB ketika di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2022.

Menurut Penghulu Pos Pulat, Batin Majid Busu, 47, pihaknya akan tetap membantah pembinaan empangan itu jika ian diteruskan oleh pemaju dan kerajaan Negeri.

Mengenangkan sejarah dan juga tanah nenek moyangnya, beliau juga tidak mahu berpindah walaupun diberikan penempatan baharu.

“Jika projek diteruskan juga, kami akan tetap buat bantahan”

“Dah berpuluh-puluh tahun tinggal di sini, dari kecil lagi. Kalau ada rumah baru pun, ikut saya, saya memang tak setuju”

“Kalau saya setuju, kampung lama ini akan terjejas”

“Hilanglah semua identiti kampung ini, kubur, sejarah, adat, semua hilang” ujar Tok Batin Kampung Pos Pulat itu ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum.

Projek pembinaan empangan Hidroelektrik Nenggiri akan menenggelamkan Gua Cha/Gua Chos yang mengandungi nilai sejarah penting komuniti Orang Asli Temiar.

Gua tersebut menempatkan bukti kewujudan awal kaum Orang Asli itu selain mempunyai artifak pembentukan kronologi sejarah awal Kelantan.

Sementara itu, Ketua Wilayah Tanah Adat Kampung Orang Asli Simpor, Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata, komuniti itu turut kehilangan sumber hidup hasil daripada pembinaan empangan hidroelektrik terbabit.

Jelas beliau, ia juga akan menjejaskan perkuburan lama dan baharu, perkampungan, sumber makanan, dan tanah adat Orang Asli yang semakin mengecil.

Selain itu katanya, empangan tersebut akan memberi kesan buruk kepada keselamatan penduduk setempat seperti serangan haiwan liar.

“Dah ada beberapa kampung seperti Pos Kampung Simpor yang berhadapan dengan sekumpulan gajah liar yang datang serang sumber makanan kami”

“Rata-rata anak buah pun berputus asa untuk bercucuk tanam walaupun ianya aktiviti turun temurun”

“Kami dapat tekanan luar biasa, sehinggakan hampir setiap hari tak dapat tidur malam” ujarnya.

Mohd Shafiq yang turut terlibat dalam penyerahan memorandum itu memberitahu, beliau berjaga dari malam ke pagi kerana khuatir dan bimbang akan serangan gajah akibat pembalakan.

“Itu efek pembalakan, apatah lagi pembinaan empangan nanti?” soal beliau.

Beliau berkata, walaupun projek-projek yang diluluskan kerajaan negeri itu bertempat di perkampungan Orang Asli, tiada satu pun perbincangan tersebut melibatkan komuniti itu dalam membuat keputusan.

“Kami berhak untuk melawan untuk tanah kami sebab dari 2016 dan 2017 sehingga sekarang telah membantah pembinaan empangan ini”

“Kami minta kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan mendengar keluhan masyarakat Orang Asli dan menghentikan projek ini dengan kadar segera” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerja-kerja pembinaan projek yang bernilai RM5 billion dijangka dimulakan secara agresif sebaik selepas majlis pecah tanah pada pertengahan Jun ini. – MalaysiaGazette