Keadaan motosikal mangsa nahas kemalangan dalam kejadian di Elite semalam.Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LANGAT – Seorang pembantu gudang maut setelah motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah skuter di Kilometer 22.6 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 pagi dan cuaca itu baik.

“Kejadian berlaku apabila terdapat sebuah motosikal skuter jenis Yamaha NVX yang sedang dalam perjalanan dari arah (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke arah Shah Alam dipercayai telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kecemasan kerana ada kenderaan lain di hadapannya sedang brek.

“Ketika itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ datang dari arah belakang dan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal Yamaha NVX berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

lokasi kemalangan di Lebuhraya Elite menyaksikan seorang pembantu gudang maut selepas merempuh belakang skuter. Ihsan IPD Kuala Langat

Tambah beliau, akibat rempuhan itu, mangsa telah tercampak dan jatuh di atas permukaan jalan.

“Mangsa identitinya dikenalpasti sebagai lelaki warga tempatan berumur 26 tahun itu mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

“Manakala penunggang Yamaha NVX terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam insiden itu,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette