SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menghalang Kedutaan Jepun di Malaysia untuk menganjurkan Festival Tahunan Bon Odori iaitu perayaan Buddha Jepun di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), di sini, pada 16 Julai ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, dalam masa sama pihaknya menyerahkan kepada Kedutaan Jepun untuk mengesahkan sama ada ia aktiviti kebudayaan ataupun keagamaan.

“Tak apa laa mereka nak anjur, anjur lah, macam mereka anjurkan program Thaipusam, setiap tahun dianjurkan, kita akan terus bantu, kos pun tak besar.

“Pihak majlis tempatan bantu sediakan (tempat). Takkan lah tak boleh langsung. Perkara itu tiada halangan untuk berjalan.

“Kali ini kita bantu sediakan saja, tak ada masalah, tapi kalau larangan itu sah, saya kena dapatkan pandangan sebenar.

“Biar Kedutaan Jepun bagi respon dan sebagainya sebab acara ini dianjurkan setiap tahun,” katanya kepada pemberita di Dewan Bankuet, Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penganjuran festival tahunan Bon Odori iaitu perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka yang dijangka diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), Julai ini.

Poster promosi penganjuran festival itu juga memaparkan imej anime wanita berhijab yang memakai kimono dan ia mendapat reaksi negatif di laman media sosial terutama dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga akan merujuk kepada pihak berkuasa selain Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi kebudayaan untuk menilai semula status Bon Odori bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan umat Islam.

“Saya tak pasti ada elemen keagamaan ataupun tidak, tapi biar kita dapat (penjelasan) daripada pihak berkuasa dan badan pengkaji untuk dapatkan (maklumat).

“Kalau maklumat itu jitu, kita akan patuh kepada nasihat tersebut, kalau tak ada (maklumat) nak buat macam mana.

“Kita minta JAIS bagi maklumat sebab saya perasan info itu datang satu dua hari lalu di dalam Wikipedia, sebelum itu tak timbul isu ini, kita kena tengok dulu pandangan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin tidak akan menghalang mana-mana agama untuk meraikan perayaan masing-masing di negeri itu.

“Sebelum ini, kita meraikan dengan memberi ruang kepada agama-agama lain untuk menyambut perayaan mereka, contohnya Thaipusam dan Deepavali,” katanya.

Amirudin tidak menolak kemungkinan festival Bon Odori sama seperti Pesta Ponggal yang diraikan masyarakat India.

“Saya percaya hal ini juga hampir sama seperti Pesta Ponggal yang merupakan hari kegembiraan mereka (masyarakat India).

“Masing-masing ada aktiviti doa, kita buat majlis jamuan raya pun ada doa, takkan itu nak dianggap sebagai majlis keagamaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast