Isham Jalil Information Chief Selangor BN sacks
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Selangor menamatkan perkhidmatan Isham Jalil sebagai ketua penerangan negeri berkuatkuasa serta merta.

Beliau yang memegang jawatan itu bermula 31 Mei 2020 dimaklumkan mengenai penamatan jawatan berkenaan menerusi surat bertarikh 3 Jun lalu.

“Saya telah dimaklumkan bahawa perkhidmatan saya sebagai Ketua Penerangan BN Negeri Selangor telah ditamatkan berkuatkuasa serta merta.

“Berdasarkan surat daripada BN Selangor yang dilampirkan, ini adalah kerana jawatan Ketua Penerangan BN negeri tidak termaktub di dalam Perlembagaan BN.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama dan berjuang bersama saya sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai Ketua Penerangan BNl Negeri Selangor,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Surat bertarikh 3 Jun 2022 yang ditandatangani Setiausaha BN Selangor, Datuk Dr. Mohamad Satim Diman itu turut dihantar salinannya kepada Setiausaha Agung BN Malaysia, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Surat BN Selangor kepada Isham

Menurut surat itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Selangor bersetuju agar perkhidmatan Isham ditamatkan berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat melalui perbincangan bersama Pengerusi BN Malaysia dengan merujuk kepada Fasal 23 Perlembagaan Barisan Nasional.

BN Selangor merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan yang diberikan sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Penerangan BN negeri lantikan.

Isham turut meminta ahli parti meneruskan perjuangan yang belum selesai walaupun beliau tidak lagi berada di kepimpinan BN negeri.

“Perjuangan kita belum selesai, oleh itu saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan meneruskan perjuangan dan usaha ini walaupun saya tidak lagi berada di kepimpinan BN negeri.

“Saya akan bantu sebaik mungkin dengan apa yang termampu walaupun tanpa apa-apa jawatan dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini.

“Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kita. Sekiranya kita ikhlas, istiqamah dan sabar, Allah SWT akan bantu dan berikan kita kejayaan demi masa depan negara dan anak cucu kita semua, Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette