Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengenakan larangan ke atas tabiat meminum arak dan minuman manis, perjudian, kelab malam, karaoke dan pub kepada generasi akan datang.

Pendapat  tersebut  diperoleh  melalui  satu  tinjauan  pendapat  yang  dijalankan  Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara dalam talian yang telah berjaya mengumpul 1,259 responden.

Tinjauan tersebut dijalankan bagi memahami pandangan orang ramai mengenai larangan untuk tabiat-tabiat negatif lain selain daripada merokok dan menggunakan vape untuk generasi yang akan datang.

“Hasil tinjauan mendapati 89 peratus mahukan kerajaan mengharamkan arak dan 69 peratus mahukan kerajaan mengharamkan penjualan minuman manis.

“Selain itu, sebanyak 86 peratus mahukan kerajaan mengharamkan perjudian manakala 79 peratus mahukan kerajaan mengharamkan operasi kelab malam, karaoke dan pub,” kata PPIM dalam satu kenyataan hari ini.

Tinjauan itu telah dijalankan selama seminggu di laman portal www.ppimonlinepoll.com.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk melaksanakan larangan dan penjualan rokok dan vape kepada individu yang lahir selepas 2005.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk membuat larangan penuh pada penggunaan dan penjualan sesuatu barangan kepada generasi akan datang walaupun cadangan tersebut adalah bertujuan positif.

Beliau juga berpendapat tindakan larangan tersebut akan membawa kepada masalah lain antaranya  peningkatan  pasaran  gelap  dan  juga  aktiviti-aktiviti  jenayah  yang  lain.

“Selain daripada  kesukaran  dari  segi  penguatkuasaan,  ini  secara  tidak  langsung  bakal  memberi bebanan  kepada  agensi  penguatkuasaan  serta  menjadikan  pengguna  dewasa  menjadi penjenayah.

“Kita juga maklum produk-produk dan perkhidmatan lain juga memberi kesan yang negatif kepada pengguna. Sebagai contoh, arak boleh merosakkan anak bangsa,  minuman manis memberikan  kesan  kepada  kesihatan,  perjudian  boleh  menyebabkan  rakyat  terjerumus dengan hutang.

“Sekiranya kerajaan bernekad untuk memperkenalkan larangan untuk merokok dan vape atas  sebab  kemudaratan  kesihatan,  ramai  juga  telah  bersuara  untuk  menyarankan  kerajaan mengenakan larangan yang sama untuk membasmi semua tabiat-tabiat yang negatif kepada generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette