Sultan Selangor merangkap Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilantik semula sebagai Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkuatkuasa 1 April 2022 hingga 31 Mac 2029.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman telah mempersembahkan Watikah Lantikan Semula Sultan Selangor sebagai Canselor UPM oleh Yang di-Pertuan Agong pada pertemuan bersama baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam baru-baru ini.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan Ahli Lembaga Universiti UPM, Engku Panglima Setia Diraja Datuk Syed Haizam Jamalullail.

Menurut kenyataan UPM, Sultan Sharafuddin dilantik Canselor UPM sejak 2002 dan sehingga kini telah memberi banyak sumbangan bermakna khususnya dalam konteks peranan universiti itu menjuarai agenda pertanian, penyelidikan dan alumni.

Baginda juga, kata kenyataan itu, berkenan merasmikan Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah UPM di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong pada 2012 sebagai pusat rujukan pendidikan dan pengembangan amalan terbaik pengurusan hutan tropika di peringkat nasional mahu pun global.

“Pada 1996, kerajaan Selangor memberi kebenaran kepada UPM untuk mengurus dan membangunkan Hutan Simpan seluas 1,176.1 hektar itu sebagai hutan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan perhutanan untuk tempoh 80 tahun sehingga 2076.

“Selain itu, pada 2014, Sultan Sharafuddin juga turut merasmikan UPM Kampus Bintulu, Sarawak (UPMKB).

“Sejarah penubuhan UPMKB bermula apabila kampus cawangan itu ditubuhkan di kampus sementera Semenggok, Sarawak pada Jun 1974 dan pada 10 Januari 1992 ditutup bagi memberi laluan kepada penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” kata kenyataan itu kepada media hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pada Februari 2001, Kementerian Pendidikan melalui surat Ketua Setiausahanya telah menyampaikan persetujuan menteri supaya UPM menggerakkan semula kampus cawangannya di Bintulu bermula sesi akademik 2001/2002 dengan memberi tumpuan kepada bidang pengkhususan pertanian dan perhutanan.

Seterusnya, Tuanku Canselor juga sentiasa prihatin dengan hala tuju dan perancangan UPM seperti menyokong Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang dilancarkan Disember 2021.

Pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-44, baginda menitahkan agar warga UPM termasuk graduan yang bakal menjadi alumni menyokong pelaksanaan pelan strategik itu kerana mampu memperkukuh universiti itu sebagai menara ilmu yang memacu kecemerlangan.

Di samping itu, melalui titah Tuanku Canselor juga sempena 50 tahun penubuhan UPM, baginda melihat universiti itu meraih banyak pencapaian dan perkembangan yang sangat signifikan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat serta bersama menerajui agenda pertanian dan sekuriti makanan negara.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan berkata, pelantikan Tuanku Canselor pastinya dapat memperkukuhkan UPM sebagai universiti yang unggul dan mencapai misi iaitu memberi sumbangan bermakna kepada pembentukan kemakmuran dan pembangunan negara serta kesejahteraan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu.

Katanya, kebitaraan UPM dalam bidang pertanian juga amat dititikberatkan oleh Tuanku Canselor agar universiti itu menakhoda pertanian dan menjadi Pusat Rujukan Pengembangan. – MalaysiaGazette