Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri mengesahkan kemalangan jalan raya melibatkan bas pekerja yang dinaiki 15 warganegara Malaysia yang terbabas di Muzdalifah, Arab Saudi semalam.

Menurut kenyataan dari Wisma Putra, semua mangsa adalah pekerja di sebuah syarikat pembinaan yang terlibat dengan projek landasan dan perkhidmatan kereta api di Mekah.

Susulan kemalangan itu, mereka dibawa ke Hospital An Nur dan King Faisal Hospital di Makkah bagi mendapatkan rawatan.

“Dua daripada mereka mengalami kecederaan serius patah tulang di bahagian bahu dan tengkuk manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar dan telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Arab Saudi berhubung kemalangan itu,” kata kenyataan itu kepada media hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau perkembangan insiden itu serta menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

“Kementerian Luar Negeri mendoakan agar semua mangsa kembali pulih dengan seberapa segera,” katanya. – MalaysiaGazette