Pengerusi Majlis Amal Islam Malaysia (MAIM), Muhammad Najhan Shahir menunjukkan surat memorandum bantahan isu Kedutaan India dalam penghinaan Nabi SAW di Wisma HRIH Lotus Setapak, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) mewakili 140 badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu hari ini bertindak menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan India berhubung isu Islamofobia dan menghina Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi MAIM, Muhammad Najhan Shahir Halum berkata, mereka kesal terhadap kenyataan Nupur Sharma iaitu jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) serta Ketua Media BJP Delhi, Naveen Kumar Jindal.

“Antara kandungan memorandum itu, kami menyatakan bahawa penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW adalah perbuatan yang bercanggah dengan nilai-nilai hak asasi beragama dan mengamal ajaran masing-masing yang dijamin hak asasi manusia.

“Ia juga satu provokasi jahat yang mampu menggugat keharmonian sejagat dan ketidakstabilan masyarakat.

“Kami turut mendesak agar India khasnya Parti BJP mengenakan tindakan tegas terhadap kedua-dua pemimpin itu sama ada melucutkan jawatan dalam parti mahupun kerajaan sekiranya ada,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan di Kedutaan India di sini hari ini.

Majlis Amal Islam Malaysia (MAIM), hadir ke pejabat Kedutaan India bagi menyerahkan memorandum bantahan isu Kedutaan India dalam penghinaan Nabi SAW di Wisma HRIH Lotus Setapak, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 JUN 2022.

Bagaimananpun, Muhammad Najhan berkata, memorandum itu tidak dapat disampaikan terus kepada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia sebaliknya diminta meletakkannya dihadapan pintu kedutaan sahaja.

Antara NGO yang turut terlibat adalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) serta Gerakan Pembela Ummah.

Mereka juga menuntut permohonan maaf daripada India terutama Parti BJP susulan kenyataan ahli politik parti pemerintah mereka kepada seluruh umat Islam dan berjanji agar perkara seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang.

Dalam pada itu, kesemua NGO Islam itu menyokong sepenuhnya usaha dan tindakan tegas kerajaan Malaysia yang memanggil Kedutaan India serta menyatakan bantahan rasmi terhadap kerajaan India.

Ketua Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tuan Kamarul Arief . Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 JUN 2022.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tuan Kamarul Tuan Soh turut meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysaia yang tidak bersifat diplomatik sepertimana yang mereka nyatakan sebelum ini.

“Sepatutnya kerajaan India mempunyai hak untuk menyatakan pandangan mereka kalau mereka berkata demikian, mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab untuk mendengar suara atau rungutan daripada peringkat bawahan.

“Tindakan untuk tidak menerima memorandum daripada masyarakat di negara ini bukanlah satu tindakan diplomatik dan demokratik seperti mana yang mereka laungkan selama ini. Tindakan mereka ini adalah perkara yang sangat dahsyat,” ujarnya.

Terdahulu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan dua ahli politik BJP yang menghina Nabi Muhammad SAW malah telah memanggil Pesuruhjaya Tertinggi India ke Malaysia bagi menyampaikan rasa kecewa terhadap kenyataan itu. – MalaysiaGazette.