Pemain Malaysia selepas tewas kepada Bahrain dalam perlawanan Malaysia menentang Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan para pemain Malaysia malam ini.

“Kalah menang itu adat pertandingan, kita berjuang lagi untuk perlawanan seterusnya.

“Buat para pemain, ini bukan pengakhiran tetapi peluang untuk kita buat lebih baik selepas ini. Ayuh bangkit!” tulis di Facebook miliknya sebentar tadi.

Malaysia memilih laluan sukar untuk ke Piala Asia 2023 selepas tewas 1-2 kepada Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023.

Ismail Sabri malam ini meluangkan masa menyaksikan perlawanan kedua Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini.

Beliau tiba di gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu pada jam 8.45 malam dan disambut oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin serta kepimpinan tertinggi badan induk itu.

Turut berangkat menyaksikan perlawanan malam ini adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selain Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut hadir di stadium itu.

Kira-kira lebih 60,000 penyokong setia skuad kebangsaan membanjiri stadium termasuk Ultras Malaya yang merancakkan suasana menerusi paluan gendang sambil bersorak dan menyanyi. – MalaysiaGazette