Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak harus tergesa-gesa menerima saranan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengkaji Hukuman Mati Mandatori untuk memansuhkan hukuman itu.

Ini kerana, tegas Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali, pemansuhan hukuman mati mandatori adalah perkara serius yang perlu diteliti secara mendalam.

Selain itu, kata beliau, kerajaan juga perlu melakukan kajian terperinci terlebih dahulu termasuk melibatkan pihak berkepentingan serta mendapatkan maklum balas daripada majoriti rakyat.

“Kerajaan perlu mengambil iktibar daripada pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dilakukan secara tergesa-gesa bagi tujuan mendapat sokongan politik populis.

“Selepas akta itu dimansuhkan, kini terdapat pihak yang tidak lagi mempedulikan sensitiviti keagamaan dan perkauman yang mengugat keselamatan negara.

“Mereka ambil kesempatan dengan ledakan teknoloji maklumat terutama kebebasan media sosial tanpa batas,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Jawatankuasa itu diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malunjun dan laporannya telah dikemukakan kepada kerajaan itu serta diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut Dr. Ibrahim, banyak pihak menyesal apabila ISA dimansuhkan dan ada antaranya mendesak supaya akta itu dikembalikan.

Malangnya, ujar beliau, keadaan sudah terlambat dan tidak mungkin lagi akta yang berkesan mengawal dan menjaga keamanan dan keselamatan negara itu dapat dilaksanakan semula.

“Pengalaman ini wajib diambil iktibar jika kerajaan mahu mansuhkan sesuatu undang-undang seperti ISA.

“Keselamatan negara dan keadilan kepada mangsa kekejaman wajib juga diambil kira dan keutamaan hendaknya bukan untuk menyelamat  si pembunuh yang melakukan kekejaman,” kata beliau.

Mengenai cadangan menyerahkan kepada mahkamah membuat pilihan sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup, beliau berkata, tentulah hakim tidak mahu menjadi ‘pembunuh’.

“Tentulah hakim lebih cenderung kepada hukuman penjara seumur hidup dan ini terdedah kepada usaha melobi atau unsur lain yang wajar diambil kira.

“Hukuman mati mandatori wajib dikekalkan bagi kes jenayah kejam yang menyebabkan kehilangan nyawa seperti dalam kes pembunuhan terancang.

“Melindungi penjenayah kejam yang melibatkan kematian bermakna kerajaan lebih mementingkan nasib penjenayah daripada membela mangsa kekejaman,” katanya.

Beliau juga berkata, semakan boleh dibuat terhadap senarai sembilan jenayah yang membawa hukuman mati mandatori, di mana jenayah tidak melibatkan kekejaman kematian boleh dipinda dengan hukuman lain seperti rotan mandatori secara maksimum dan penjara seumur hidup.

Namun, terserah kepada budi bicara mahkamah berhubung permohonan bagi hukuman mati untuk kes berkaitan dadah yang tidak melibatkan kematian terutama dalam kes keldai dadah atau pemilikan dadah bagi tujuan perubatan.

Begitu juga kata Dr. Ibrahim, dengan kes membawa senjata api atau jenayah berat tanpa melibatkan kematian.

“Kos untuk membiayai penjenayah yang dipenjara seumur hidup juga harus diambil kira. Bayangkan, jumlah dana untuk menyara ribuan penjenayah yang dipenjara seumur hidup.

“Pastinya kos itu mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun. Perbelanjaan ini adalah dari duit cukai rakyat bagi makan minum, perubatan dan lain-lain kepada penjenayah kejam.

“Lebih baik dana sebesar itu digunakan untuk membantu rakyat miskin atau keluarga mangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, beberapa negara lain termasuk Singapura masih mengekalkan hukuman mati mandatori, malah negara China melaksanakan hukuman tembak sampai mati terhadap penjenayah rasuah.

Katanya, Presiden Indonesia, Jokowi baru-baru ini juga turut membayangkan untuk menggubal undang-undang hukuman mati ke atas penjenayah rasuah.

“Wahai negaraku Malaysia yang bercita-cita menjadi hebat, buatlah keputusan yang tepat dan bijak. Berilah keutamaan pada tempatnya.

“Belajarlah juga dari negara jiran kita, Singapura yang sudah maju dan hebat, tetapi masih mengekalkan ISA dan hukuman mati mandatori. Tegas hendaklah kena pada situasi, kondisi dan matlamat nya,” kata beliau. – MalaysiaGazette