Inland Revenue Board IRB income tax taxation system Budget 2022
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah mengesan sebanyak 31,598 entiti terdiri daripada individu, perniagaan, syarikat dan lain-lain yang masih tidak melaporkan pendapatan sebenar.

Daripada jumlah itu sebanyak 23,751 adalah individu manakala 7,847 terdiri daripada perniagaan, syarikat dan lain-lain.

Pengesanan entiti ini dibuat berdasarkan maklumat melalui pemilikan aset dan kemampuan entiti tersebut mengambil pinjaman/sekuriti melebihi RM500,000.00 dan ke atas.

Berdasarkan data berkenaan dan analisa yang dilakukan, jumlah ketirisan cukai langsung yang dialami oleh negara dianggarkan bernilai RM665 juta.

Melihat kepada nilai anggaran ketirisan ini, ia merupakan satu jumlah yang signifikan dan mampu memberi impak negatif kepada kestabilan ekonomi negara jika ia tidak segera dibendung.

Oleh yang demikian, bagi melahirkan suatu ekosistem percukaian yang baik dan pematuhan cukai secara sukarela dapat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat di Malaysia, LHDNM memfokuskan usaha menangani isu ini melalui tiga pendekatan utama iaitu Kesedaran (A – Awareness), Pendidikan (E – Education) dan Perkhidmatan (S –Services) atau ringkasnya AES.

“LHDNM akan terus mengamalkan tiga pendekatan ini sebagai usaha untuk menunjukkan peranannya sebagai fasilitator pematuhan, sekali gus menasihati 31,598 entiti khususnya 23,751 individu yang dikesan ini untuk tampil secara sukarela
dengan segera bagi mendaftar fail cukai dan melaporkan pendapatan yang sebenar.

”Bagi tujuan tersebut, tempoh masa yang diberikan kepada mereka untuk mengambil tindakan seperti yang dinasihatkan ialah selama satu bulan iaitu bemula dari 15 Jun 2022 sehingga 15 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan di sini.

Setelah tempoh sebulan ini tamat, LHDNM akan mengambil tindakan penguatkuasaan cukai seperti audit, siasatan sivil dan siasatan jenayah terhadap entiti dan individu berkenaan yang masih gagal patuh menghantar Borang Nyata Cukai (BNC)
bagi sesuatu Tahun Taksiran, mengemukakan penyata yang salah dan mengelakkan diri daripada dikenakan cukai.

Tindakan siasatan jenayah akan memberi implikasi pendakwaan di mahkamah.

Ketidakpatuhan dan pelarian cukai ini dikenakan tindakan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 112, 113 dan 114 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sebagai maklumat tambahan, cukai pendapatan dikenakan terhadap setiap individu bagi pendapatan yang terakru atau terbit di Malaysia atau diterima di Malaysia dari luar Malaysia bagi setiap Tahun Taksiran.

Seseorang individu yang mempunyai jumlah pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan, yang boleh dikenakan cukai perlu mendaftar fail cukai pendapatan.

Bagi individu yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 dan mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB) adalah layak dikenakan cukai.

Keuntungan yang diperolehi daripada menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion juga merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai (termasuk sebarang bentuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak
berkuasa). – MalaysiaGazette