Yusri Che Lah (kanan). Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Dijangka bakal tampil dengan wajah baharu selepas pintu perpindahan kedua pemain, moral Perak FC jelas berada pada tahap terbaik menjelang pusingan kedua Liga Premier.

Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah, bagaimanapun tidak mahu meletakkan impian terlalu tinggi sebaliknya memilih layak ke TM Piala Malaysia 2022 sebagai sasaran paling realistik.

Berada pada kedudukan terakhir dengan negatif tiga mata, Yusri masih optimis Perak boleh memintas beberapa pasukan di atas mereka bagi berada dalam kalangan lima pasukan terbaik tidak termasuk pasukan simpanan ke Piala Malaysia.

“Ketika ini saya mahu harap buat yang terbaik bagi baki sembilan perlawanan dan mahu melihat dari satu ke satu perlawanan.

“Kami kena sedar yang kedudukan Perak masih lagi negatif tiga mata dan paling realistik serta apa yang kita mampu lakukan ialah mendapatkan slot ke Piala Malaysia.

“Itu mungkin menjadi sasaran utama pasukan kerana dalam sembilan perlawanan ini, sudah pasti pasukan di atas kita bakal meraih kemenangan serta kekalahan.

“Jadi, kami kena guna ambil kesempatan ini bagi memperbaiki kedudukan pasukan sebelum Liga Premier berakhir September nanti,” katanya.

Perak sudah mencatatkan dua kemenangan setakat ini namun pemotongan sembilan mata ekoran kegagalan melunaskan baki tunggakan gaji selepas dua kali tarikh akhir diberikan.

Mereka gagal menjelaskan pembayaran baki tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama serta Reserve Team berdasarkan Akuan Berkanun (15 Disember 2021) bagi semua tunggakan setakat November 2021.

Namun pengurusan baharu Perak telah menyelesaikan kemelut yang berlaku dengan melunaskan segala tunggakan gaji pemain serta pegawai pada Mei lalu.

Buat masa ini, pengurusan baharu Perak sedang dalam proses menyelesaikan isu sekatan perpindahan dan Yusri berkeyakinan mereka mampu selesaikannya sebelum pintu perpindahan kedua ditutup.

“Saya rasa 14 pemain baharu iaitu semua tonggak tempatan dapat didaftarkan sebelum 24 Jun ini. Pengurusan sedang sedaya upaya bagi memastikan sekatan perpindahan yang kita sedang lalui dapat dibuka.

“Pemain dan pegawai perlu mencapai apa yang kita inginkan selepas pengorbanan dilakukan pengurusan bagi memastikan isu ini boleh diselesaikan,” katanya. – MalaysiaGazette