Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mahu bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia berhubung kenyataan dua wakil parti politik pemerintah India, Bharatiya Janata Party (BJP) yang telah menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Menurutnya, Majlis Presiden PH mahu memberi penegasan kepada Pesuruhjaya Tinggi India berhubung isu yang telah mencetuskan isu diplomasi antara India dan berpuluh negara Islam lain.

Dalam pertemuan itu mereka mahu, mahu kerajaan India dan Perdana Menteri Narendra Modi menjaga keharmonian hidup beragama di negara tersebut.

Serentak itu kerajaan India dan Narendra digesa supaya segala tindakan yang bersifat zalim dan berunsur penghinaan ke atas pelbagai agama di negara itu dihentikan dengan segera.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan meneliti perkembangan isu beberapa wakil BJP di India minggu lalu yang telah mengeluarkan kenyataan berhubung Nabi Muhammad SAW yang telah mengguris hati serta menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

“Kami menyeru agar Kerajaan India yang dipimpin Perdana Menteri Narendra Modi menjaga keharmonian serta kesederhanaan kehidupan beragama di India.

“Kami turut menyeru agar tindakan-tindakan kezaliman dan penghinaan terhadap mana-mana penganut agama di India termasuk Kristian, Budha, Muslim serta kasta seperti Dalit dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, dua ahli parti tertinggi pemerintah, BJP membuat kenyataan yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Individu berkenaan ialah jurucakap BJP Nupur Sharma dan Ketua Media BJP Delhi, Naveen Kumar Jindal.

Kenyataan Sharma yang disiarkan melalui televisyen itu mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam malah ramai menuntut wanita itu ditahan.

Sepanjang beberapa minggu lalu, diplomat India yang ditempatkan di negara-negara Teluk dan negara-negara Islam yang berjiran telah dipanggil oleh pegawai di negara tersebut bagi membantah kenyataan yang menghina Nabi Muhammad.

Malah sebuah pasar raya di Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya bagi membantah kenyataan yang disifatkan sebagai ‘Islamofobia’.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast