Uvarajan (kanan) bersama Datuk Kumaran (tiga dari kanan) dan Datin Muniswary (dua dari kiri) pada majlis penghargaan dan makan malam di Kelab Diraja Ipoh, Perak baru-baru ini.

IPOH – Golongan muda di Perak khususnya dalam kalangan masyarakat India harus menonjolkan kemampuan diri serta mencipta nama baik agar dapat dicontohi generasi seterusnya.

Menjadikan Datuk Kumaran Karupannan sebagai inspirasi misalnya, pencapaian pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu meniti kejayaan wajar dibanggakan.

Kumaran yang dinaikkan pangkat sebagai Deputi Komisioner Polis pada April lalu kini merupakan Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti(JPJKK) di Bukit Aman.

Presiden Persatuan Kebajikan Sosial Sukan dan Kebudayaan Kinta Ipoh,  P. Uvarajan berkata, golongan muda harus mencontohi keperibadian Kumaran untuk menjadi insan berjaya

Menurut beliau, banyak yang boleh dipelajari menerusi apa yang ditonjolkan oleh pegawai kanan PDRM itu yang sebenarnya turut membanggakan masyarakat India.

“Beliau (Kumaran) telah menerima kenaikan pangkat sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JPJKK di Bukit Aman.

“Kita harus bangga dengan kejayaan beliau, justeru belia-belia masyarakat India harus mengambil Kumaran sebagai inspirasi dalam hidup,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penghargaan dan makan malam bagi meraikan kenaikan pangkat pegawai kanan PDRM itu di Kelab Diraja Ipoh, baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Ipoh Barat, P. Palaiya, Datin G.Muniswary iaitu isteri Datuk Kumaran serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan tempatan.

Sebelum menjawat jawatan sekarang, Kumaran yang juga anak kelahiran Johor merupakan Ketua JPJKK Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Jelas Uvarajan, masyarakat ketika ini sentiasa dikejutkan dengan berita-berita mengenai belia India yang terlibat dalam kegiatan jenayah walaupun jumlahnya kecil.

Katanya, masalah jenayah dan gangsterisme ini perlu ditangani kerana ia boleh menjadi ancaman serius kepada masyarakat India.

“Sebenarnya, golongan muda harus menjadikan Kumaran yang begitu cemerlang dalam tugas sebagai pegawai kanan polis.

“Jadi, kita mahu semangat dan kejayaan sama ditonjolkan para belia dalam lapangan masing-masing seterusnya menyumbang kepada komuniti,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast