Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyifatkan Allahyarham Adibah Nor memiliki personaliti yang disenangi ramai selain memiliki bakat seni yang luar biasa.

Mengenali arwah ketika aktif dengan aktiviti seni kebudayaan, Fahmi berkata, sepanjang mengenali Adibah, Allahyarham mudah menerima sesiapa sahaja sebagai kenalan dalam hidupnya.

Malah ujarnya, arwah juga seorang yang sentiasa merendah diri dan ramah dengan semua orang.

“Arwah Adibah seorang insan dan sahabat yang sangat baik.

“Arwah tidak pernah membebankan orang lain dan sangat penyayang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Masjid Al-Ansar, Keramat di sini, hari ini untuk hadir memberi penghormatan terakhir pada sahabatnya itu.

Fahmi menambah, beliau tidak mampu menahan rasa sedih sebaik menerima berita duka pemergian Allahyarham Adibah malam tadi.

Menurutnya, kehilangan Adibah secara tiba-tiba akibat kanser ovari sangat mengejutkan seluruh penggiat seni.

“Saya seperti tidak percaya mendapat berita pemergian beliau.

“Apa yang sangat menyedihkan kami rakan-rakan juga ialah kami tidak tahu beliau sakit,” katanya lagi.

Menyentuh karakter Allahyarham, Fahmi berkata, Adibah juga merupakan contoh insan seni yang sentiasa ingin belajar setiap masa.

“jika dikritik sekalipun, arwah tidak pernah melenting sebaliknya, sentiasa mengambil kritikan dari sudut yang positif.

“Itulah kelebihan Adibah yang akan saya kenang sampai bila-bila,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast