Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu diperkosa seorang lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai dikenali menerusi laman sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, mangsa pada mulanya disedari hilang selepas pemandu van sekolah tidak melihat kelibat mangsa di dalam kenderaannya.

Katanya, pemandu itu memberitahu kepada ibu mangsa bahawa mangsa tidak dilihat di kawasan sekolah selepas tamat waktu persekolahan.

“Pengadu bersama suami telah pergi ke sekolah dan mendapat tahu daripada rakan sekolah bahawa anak pengadu telah menaiki sebuah kereta jenis tidak pasti dengan seorang lelaki dipercayai berbangsa Melayu selepas tamat waktu sekolah.

“Seterusnya pengadu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hoong Fong berkata, berdasarkan siasatan mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki warga tempatan berbangsa Melayu melalui aplikasi Zaky pada 14 Jun lepas.

Setelah berkenalan selama dua hari, mangsa telah membuat temujanji dengan suspek di hadapan sekolah untuk melarikan diri ke Melaka, katanya.

Tambah beliau, pukul 6.40 petang 16 Jun lalu, suspek telah mengambil mangsa di hadapan sekolah menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva warna perak dan membawa mangsa ke Melaka.

“Mangsa telah di bawa ke sebuah bangunan rumah kedai dan suspek telah melakukan perhubungan seks bersama mangsa.

“Pada 17 Jun pukul 11.30 malam, suspek telah menghantar mangsa ke Sentul atas permintaan mangsa.

“Setelah mangsa diturunkan di kawasan Sentul, mangsa telah meminta bantuan daripada seorang kawan untuk bawa dan tinggal di rumah kawannya.

“Pada keesokan harinya, mangsa telah meminta bantuan daripada rakan sekelasnya untuk mengambil mangsa dari Sentul untuk pulang ke rumah. Maklumat tersebut telah dikongsi dengan pihak polis dan mangsa telah diselamatkan,” ujarnya.

Katanya lagi, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang daripada penjagaan
yang sah di sisi undang-undang.

Selain itu, Hoong Fong berkata, IPK Melaka turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.

Susulan itu katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah menangkap suspek di kawasan Kuala Lumpur pukul 9.30 malam, semalam.

Polis merampas kenderaan dan juga telefon bimbit milik suspek untuk siasatan. Reman telah diluluskan selama empat hari.

“Polis ingin menasihatkan kepada orang awam agar sentiasa mengawasi pergerakan, pergaulan serta penggunaan peranti elektronik, anak masing-masing terutamanya remaja agar tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat,” katanya. – MalaysiaGazette