Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini berada di dalam keadaan sakit di bahagian kaki dan sedang menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital.

Perkara berkenaan disahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, secara amnya kesihatan Seri Paduka dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.

Tambah beliau, Agong dijadual bakal berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat selepas selesai menjalani rawatan.

“Seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga YDPA dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” tulis Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.

Sementara itu, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, semua program melibatkan Agong pada hari ini termasuk dalam masa terdekat ditangguhkan kepada tarikh yang akan diumum kelak.-MalaysiaGazette