Omar Raiyan.

KUALA LUMPUR – Pemain yang berpangkalan di luar negara, Omar Raiyan Kama Azlan dilaporkan bakal dipanggil bagi memperkuatkan skuad B-19 tahun negara menjelang saingan Piala AFF B-19 tahun yang akan berlangsung Julai ini di Indonesia.

Berita itu dikongsi Onefootball.my di laman media sosial Twitter di mana Omar sedang menjalani latihan bersama skuad Projek FAM-MSN di Bukit Jalil sementara menunggu panggilan itu.

Omar Raiyan menjadi tular pada Jun 2020 kerana dia berjaya menandatangani kontrak bersama bekas pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL), FK Crvena zvezda atau yang lebih dikenali dengan nama Red Star Belgrade.

Menurut bapa Omar, pemain yang lahir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu sudah bersama Red Star sejak bulan Ramadan tahun yang sama.

Pemain berusia 18 tahun itu kemudiannya disenaraikan dalam skuad B-17 tahun pasukan itu untuk menghadapi saingan musim 2020/2021.

Omar dianggap pemain tengah yang memiliki potensi untuk menyinar di mana dia pernah menyertai akademi kelab yang beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City pada usia sembilan tahun.

Selain itu, Omar juga pernah memenangi Piala Iber pada 2019 lalu, kejohanan sama yang pernah dimenangi oleh skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada 2015.

Pasukan B-19 tahun negara merupakan naib juara pada saingan edisi 2019 dimana mereka tewas kepada Australia pada perlawanan akhir dengan keputusan 1-0.

Pada edisi 2018,  Malaysia muncul juara dengan menewaskan Myanmar dengan keputusan 4-3. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast