Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Minggu lalu terus menyaksikan aliran keluar oleh pelabur asing dengan jumlah ketara sebanyak RM511.51 juta daripada Bursa Malaysia, bertambah berbanding RM436.91 juta pada minggu sebelumnya.

Pelabur asing adalah penjual bersih setiap hari dagangan dalam seminggu kecuali pada hari Selasa yang mana ia merekodkan belian bersih RM9.38 juta.

Hari jualan bersih paling curam oleh pelabur asing ialah Isnin dan Rabu, masing-masing sebanyak RM163.20 juta dan RM146.28 juta.

Bagaimanapun, MIDF Research berkata, pelabur institusi terus menjadi pembeli bersih semula dengan belian sebanyak RM288.68 juta, selepas menjadi penjual bersih selama empat minggu berturut-turut sejak minggu berakhir pada 13 Mei.

Pelabur runcit juga masih menjadi pembeli bersih pada kadar RM222.85 juta.

Sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 17 daripada 24 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.45 bilion.

Menurutnya, institusi tempatan memulakan minggu ini sebagai pembeli bersih dengan belian RM99.89 juta pada hari Isnin, hari belian bersih paling kukuh sebelum bertukar sebagai penjual bersih pada hari berikutnya sebanyak RM21.13 juta.

Mereka terus menjadi pembeli bersih semula untuk baki minggu lalu, bermula dari hari Rabu hingga Jumaat.

Institusi tempatan pula telah menjadi penjual bersih selama 19 daripada 24 minggu tahun ini, sehingga kini, mereka telah menjual RM7.98 bilion ekuiti.

MIDF Research berkata, pelabur runcit adalah pembeli bersih setiap hari dalam seminggu dengan jumlah RM222.85 juta.

Hari belian bersih paling kukuh ialah pada hari Rabu dan Isnin, masing-masing sebanyak RM63.89 juta dan RM63.31 juta.

Pelabur runcittelah menjadi pembeli bersih selama 15 daripada 24 minggu 2022.

Setakat ini, pelabur runcit tempatan membeli sebanyak RM1.53 bilion ekuiti.

Dari segi penyertaan, pelabur asing, pelabur institusi dan pelabur runcit semuanya menunjukkan pertumbuhan mingguan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) masing-masing pada 47.61%, 7.98% dan 3.04%.

Tambahnya, dari segi sektor – perkhidmatan kewangan, produk dan perkhidmatan perindustrian dan Utiliti menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi oleh warga asing berjumlah RM141.6 juta, RM105.7 juta dan RM83.9 juta.

Belian bersih terbesar oleh pelabur asing dalam sektor perladangan dengan jumlah RM61.8 juta. – MalaysiaGazette