Datuk Siti Zauyah Md Desa. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Setiausaha bahagian Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Datuk Siti Zauyah Mohd Desa memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa segala urusan berkaitan hal ehwal serta operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya akan melalui Datuk Seri Najib Tun Razak.

Siti Zauyah berkata, perkara itu dimaklumkan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral ketika perbincangan dan penukaran saham Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada MKD pada 2009.

Ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Siti Zauyah menjelaskan, 1MDB tidak mahu langsung memberikan sebarang kerjasama mahupun berbincang tentang Memorandum dan Artikel Pertubuhan syarikat 1MDB.

“1MDB ada PM di belakang mereka. Saya cuba bawa perkara ini kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah tapi beliau memberitahu saya bahawa tidak mahu terlibat dengan 1MDB.

“Ketua Setiausaha Perbendaharaan ,Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah juga memberitahu saya supaya tidak berbuat apa-apa mengenainya,” kata saksi ke-26 di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pada prosiding sebelum ini, Ahmad Husni memberitahu mahkamah bahawa Najib yang merupakan Perdana menteri ketika itu pernah melarangnya daripada terlibat dengan urusan berkaitan 1MDB terutamanya urusan pelaburan dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak, PetroSaudi International Ltd.

Pada prosiding terdahulu, Siti Zauyah mendedahkan klausa Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan syarikat 1MDB yang menyatakan lantikan dan penyingkiran mana-mana pengarah syarikat tidak akan berkuat kuasa tanpa mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri.

Malah ia juga tidak dirujuk kepada MKD ketika proses perbincangan dan penukaran saham Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada pihaknya.

Klausa Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB menetapkan sebarang komitmen kewangan dan penstrukturan semula yang berkemungkinan menjejaskan jaminan oleh kerajaan bagi faedah syarikat dan kepentingan serta keselamatan negara, memerlukan kelulusan bertulis perdana menteri.

Siti Zauyah mendakwa, pihaknya juga tidak tahu bagaimana Klausa 117 itu dimasukkan kerana ia disediakan lebih awal oleh setiausaha syarikat 1MDB sebelum dipindah milik kepada MKD.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. -MalaysiaGazette