Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini berlangsung dalam suasana tegang apabila bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berbalah.

Ia menyebabkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah terpaksa menangguhkan sebentar prosiding bagi ‘sesi ‘bertenang’ sebelum disambung semula.

Terdahulu, Muhammad Shafee yang merupakan peguam bela Datuk Seri Najib Razak bertanyakan tentang surat-surat berkaitan 1MDB yang ditandatangani Ahmad Husni.

Ahmad Husni berkata, sudah menjadi kebiasaan surat yang diajukan kepada Kementerian Kewangan akan melalui beberapa peringkat sebelum sampai kepadanya untuk kelulusan atau tindakan lanjut.

Beliau memberitahu, surat berkaitan SRC International Sdn Bhd atau 1MDB akan sampai terus kepada Najib sebelum sampai kepadanya.

Shafee terus mengasak Ahmad Husni dengan bertanya mengapa beliau menandatangani juga surat-surat yang sampai ke tangan Najib sebelum ke tangannya.

Shafee: Saya hendak tanya, awak kata surat 1MDB dan SRC diuruskan oleh Menteri Kewangan, jadi kenapa awak tandatangan?

Ahmad Husni: Bukan saya sudah cakap tadi? Apabila surat sampai kepada saya, saya kena tandatangan. Najib (Perdana Menteri) ada kuasa dan saya hanya ikut perintah. Itulah yang berlaku. Untuk makluman, SRC dan 1MDB ini tidak ikut mengikut prosedur standard Kementerian Kewangan.

Semua arahan datang dari atas, kalau perlu tandatangan, saya kena buat. Awak tidak akan faham kerana bukan awak bekerja dengannya.

Shafee: Jangan gaduh dengan saya, jawab soalan sahaja. Kalau tidak mahu, mengapa anda tanda tangan?

Ahmad Husni: Saya ikut perintah. Saya ikut gerak hati, jika perlu tanda tangan, saya tanda tangan.

Shafee: Bukankah sebelum ni awak kata tak tahu apa dalam fikiran Najib bila lantik awak sebagai Menteri Kewangan II tapi sekarang awak kata awak tahu pula apa Najib fikir.

Ahmad Husni: Awak tidak bolehlah hendak pukul rata jawapan saya sebelum ini dengan soalan awak sekarang.

Sebelum ini awak tanya saya adakah Najib lantik saya atas alasan A, B atau C. Ini mana saya boleh tahu apa alasannya tetapi berkaitan 1MDB saya tahu saya perlu tanda tangan. Dia ada kuasa.

Shafee: Kalau macam inilah Yang Arif, saya akan ambil masa tiga hari untuk soal balas saksi ini.

Ahmad Husni: Hendak soal balas setahun pun boleh.

Collin kemudian menghentikan prosiding sebentar sebelum menyambung balik.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast