Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin (kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama 9 ahli panel pemilihan pada sidang media Pengumuman Saterawan Negara ke-15 di Kementetian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 22 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bercadang untuk mengkaji semula Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sebaliknya kementerian itu akan melihat semula punca ramai calon SPM yang gagal dalam subjek Sejarah dalam peperiksaan tersebut pada tahun lalu.

“Tidak ada sebarang perancangan, untuk kita kaji semula sejarah sebagai wajib lulus.

“Apa penting melihat apakah faktor-faktor penyumbang keputusan tersebut dan cari satu pendekatan intervensi bersesuaian.

“Ia bagi memastikan anak-anak kita lahir daripada sistem pendidikan kita ini dapat menguasai subjek sejarah pada masa akan datang agar jumlah murid gagal dapat kurangkan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai 70,455 calon SPM gagal atau tidak menduduki peperiksaan SPM 2021.

Pada 16 Jun lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Nur Zamani Abdol Hamid pula berkata, sejumlah 24,941 calon SPM tidak menduduki peperiksaan itu daripada 407,097 calon berdaftar di 3,382 pusat peperiksaan. – MalaysiaGazette