Amin Mohd Shukor

KUALA LUMPUR – Serangan terbuka Datuk Nur Jazlan Mohamed terhadap kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan melabelkannya sebagai Perdana Menteri paling lemah dilihat satu sandiwara populis dan mementingkan diri sendiri.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor berkata, sebagai bekas menteri, Nur Jazlan sepatutnya memberi pandangan konstruktif membantu rakyat bukan kenyataan berbaur hasutan.

“Ketika kerajaan giat membantu rakyat adalah amat tidak cantik apabila timbul satu kenyataan oleh bekas menteri Kabinet serta berpengalaman yang seakan cuba mengambil kesempatan kepada keberuntungan sendiri.

“Ada masanya kita boleh berpolitik tetapi lebih masanya kita perlu memartabatkan keharmonian untuk mentadbir negara dengan lebih yang baik demi keberuntungan kepada rakyat,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menyifatkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara susulan kelewatan membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.

Dalam pada itu, Amin kesal kerana serangan terbuka terhadap kepimpinan UMNO bukan kali pertama dilakukan Nur Jazlan bahkan ia pernah dilakukan terhadap Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

“Seingat saya pada 21 Mei 2018 juga beliau pernah blame game mengkritik kepimpinan Najib akibat kekalahan pada PRU-14.

“Sedangkan beliau sendiri lupa peranan beliau juga adalah untuk memenangkan UMNO dan BN.

“Bagi saya kalau pun tidak boleh membantu dari segi usaha dan idea, diam pun boleh membantu juga setidak-tidaklah tidak memecahbelah dan memporak-perandakan parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast