Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Seramai 300 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dan mendapat semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Pahang bakal menerima insentif sebanyak RM1,000 seorang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada Rabu yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM300,000.

Jelas Wan Rosdy, sumbangan tersebut merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada semua pelajar yang terlibat bertungkus lumus menghadapi peperiksaan termasuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) akibat pandemik Covid-19.

“Ini sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada semua atas segala usaha, penat lelah, kesukaran dan ketekunan para pelajar yang terpaksa belajar dalam suasana penuh cabaran.

“Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang ini.

“Terima kasih juga kepada tenaga pengajar dan ibu bapa yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu demi kejayaan pelajar-pelajar ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

266 Rumah Rakyat Pahang perlu siap tahun ini – MB

9,144 penjaja terima Bantuan Prihatin Pahang 2022

Rezeki terbang dari langit, terima kasih MB – Roshamidah

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pelajar-pelajar cemerlang dan mengharapkan semua berjaya dalam bidang yang diceburi pada masa depan.

Seramai 300 daripada 17,008 calon yang mengambil peperiksaan SPM 2021 di Pahang memperoleh keputusan gred A dalam semua mata pelajaran yang telah diumumkan pada 16 Julai 2022 lalu. – MalaysiaGazette