Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah
Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah

KUALA LUMPUR – Ketika rakyat hidup tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan asas, ada sebuah agensi kerajaan bercadang untuk menaikkan elaun Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Perkara itu dibantah sekeras-kerasnya oleh Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Wira Putra) yang menyifatkan sebagai tidak masuk akal ketika rakyat menderita dengan beban kos sara hidup semakin meningkat.

Naib Ketuanya, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah berkata, cadangan itu dikatakan terkandung dalam agenda Mesyuarat Agung FGV Holding Berhad iaitu syarikat gergasi yang dimiliki 80 peratus oleh Felda.

“Amat mengejutkan pada ketika kerajaan sibuk menarik pelbagai subsidi kepada rakyat, gaji dan perbelanjaan bagi pelbagai kemudahan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah dinaikkan dari RM30,000 hingga RM180,000.

“Ini bukan saja tidak patut, ini menunjukkan kepimpinan yang tidak ada sensitiviti terhadap keadaan semasa.

“Peneroka bertungkus lumus di ladang setiap hari masih ada yang memerlukan bantuan sara hidup dan lain-lain bantuan, tidak diendahkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman ketika mendedahkan hal itu semalam menyatakan, agenda mesyuarat agung FGV yang dijadualkan berlangsung hari ini antara lain menaikkan elaun tahunan pengerusi kepada RM480,000.

Tegas beliau, dengan kenaikan itu, elaun tahunan bagi pengerusi yang turut memegang jawatan Ketua Pengarah Felda dinaikkan dari RM300,000 kepada RM480,000 iaitu kenaikan sebanyak RM180,000.

Menurut Syed Mohd Shahriman, Wira Putra membantah kenaikan itu yang disifatkan sebagai tindakan tidak berhati perut terhadap kesengsaraan rakyat.

“Pemimpin pentingkan diri bersenang lenang dan bermewahan dengan kenaikan gaji mendadak pada ketika ekonomi negara sedang tenat dan memerlukan sokongan semua pihak bagi mengembalikan kestabilan ekonomi negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette