Gambar hiasan

”Haa, kalau tak berhenti menangis, doktor akan cabut semua gigi!”
”Doktor tu nak cabut gigi kamu, sebab nakal sangat!”
”Cabut je semua gigi dia doktor, degil sangat dia ni”

Adakalanya doktor pergigian akan mendengar komen-komen seperti ini terpacul dari mulut ibu bapa di klinik gigi. Kadang-kala guru atau pengasuh di tadika sengaja menakut-nakutkan anak di bawah asuhan mereka semasa sesi pemeriksaan pergigian dijalankan.

Setiap kali ‘gurauan’ seperti ini dilontarkan, kami sebagai doktor pergigian akan berusaha menepis dan menidakkan. Membetulkan sesuatu yang salah adalah perlu agar tidak menjadi kebiasaan dan kepercayaan. Contohnya, komentar seperti di atas merupakan sesuatu yang tidak tepat sama sekali.

Mungkin ada yang beranggapan itu sekadar satu gurauan atau usikan ringan, namun secara psikologinya ia boleh menimbulkan rasa takut dan kerisauan pada kanak-kanak tersebut. Terutama sekali untuk anak kecil yang baru kali pertama berjumpa doktor gigi.

Apabila mendengar usikan sedemikian, pasti akan mewujudkan gambaran negatif dalam mindanya tentang doktor gigi. Perkara paling utama dalam perhubungan antara doktor gigi dan pesakit ialah membina rasa percaya. Doktor gigi seharusnya dilihat sebagai orang yang boleh dirapati dan dipercayai, agar rawatan pergigian dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar.

Sekiranya awal-awal lagi anak kecil sudah dimomokkan dengan ‘gurauan’ berbaur ugutan yang menakutkan, usaha membina rasa percaya dan kerjasama mesra antara doktor dan pesakit akan menjadi sukar. Kanak-kanak sewajarnya dibiasakan dengan pemeriksaan pergigian seawal mungkin, sebaiknya apabila gigi susu mereka mulai tumbuh.

Ibu bapa boleh menjadikan pemeriksaan pergigian sebagai satu rutin tahunan keluarga. Pendedahan awal yang positif akan membentuk individu yang memiliki amalan penjagaan kesihatan pergigian yang baik. Apabila kanak-kanak sudah dibiasakan dengan pemeriksaan gigi, mereka tidak akan melihat doktor gigi sebagai seorang yang harus digeruni, sebaliknya seorang yang berniat baik yang membantu menjaga gigi mereka.

Kami menyeru para ibu bapa, penjaga, guru dan pengasuh di tadika/taska agar menggunakan pernyataan yang positif apabila berbicara dengan anak-anak kecil berkaitan kesihatan pergigian. Ceritakan kepada mereka bahawa kegigian yang baik dan sihat boleh dimiliki oleh semua dengan syarat ia mesti dijaga dengan betul.

Kisahkan kepada mereka bahawa doktor gigi ibarat ‘pahlawan’ atau ‘malaikat’ yang datang untuk memastikan mereka memiliki kegigian yang sihat dan kuat. Tanamkan dalam minda kanak-kanak untuk melihat doktor gigi sebagai seorang yang mesra membantu, bukan musuh yang perlu ditakuti.

Oleh: Dr Nazirah Ab Mumin & Dr Azlan Jaafar
Pensyarah Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast