Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan dari jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkuatkuasa Selasa lalu.

Menurut surat bertarikh 21 Jun yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pelucutan jawatan itu berikutan komitmen Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Ahmad merakamkan ucapan tahniah kepada Tajuddin atas pelantikan sebagai Duta Besar dan berharap beliau dapat melaksanakan khidmat yang terbaik untuk negara.

“Dimaklumkan bahawa Presiden UMNO melalui surat ini (bertarikh 21 Jun 2022) menamatkan pelantikan Dato’ Sri sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Menurut Perlembagaan UMNO Fasal 9.8.1.4, Presiden UMNO telah melantik Tajuddin sebagai ahli MKT UMNO.

“Saya bagi pihak Presiden UMNO ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih atas khidmatnya sebagai ahli MKT selama ini,” kata Ahmad menerusi surat rasmi UMNO kepada Tajuddin, semalam.

Surat itu diterima pejabat Tajuddin beralamat di Phileo Damansara 1, Pusat Dagangan Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor pada 22 Jun lalu.

Pada 26 Mei tahun lalu, Tajuddin dipecat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selepas berseloroh pada sidang media berhubung kemalangan dua tren transit aliran ringan (LRT).

Surat pemecatannya ditandatangani Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkuatkuasa serta merta.

Sementara itu, Tajuddin pada 19 Jun lalu, mengesahkan beliau dijemput ke Istana Negara untuk menerima watikah pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Jawatan itu kosong sejak Zainal Abidin Bakar, yang dilantik pada 21 Mac 2019, bersara pada 4 April 2021. – MalaysiaGazette