Shireen Abu Aqla. Foto EPA

GENEVA – Tentera Israel dan bukan warga Palestin yang menembak mati seorang wartawan Al Jazeera, kata pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seorang jurucakap berkata, penemuan itu adalah hasil “pemantauan bebas” kejadian pada 11 Mei lalu.

Pembunuhan Shireen Abu Aqla, yang melaporkan tentang operasi Israel di Tebing Barat yang diduduki mencetuskan kemarahan.

Rakyat Palestin telah menyalahkan Israel namun Israel berkata kesalahan belum dapat ditentukan.

Wartawan Palestin-Amerika berusia 51 tahun itu adalah salah seorang wartawan yang paling berpengalaman dan dikagumi di rantau itu.

Shireen, yang memakai jaket pelindung dan topi keledar telah ditembak di jalan berhampiran tempat pertempuran senjata antara tentera Israel dan rakyat Palestin.

Tentera Israel berkata, askarnya telah pergi ke Jenin untuk menangkap “suspek pengganas” berikutan gelombang serangan maut terhadap warga Israel oleh rakyat Palestin, dua daripadanya datang dari daerah Jenin.

Saksi berkata tembakan maut itu dilepaskan oleh tentera Israel, walaupun Israel mempertikaikan perkara ini.

Israel berkata, punca tembakan itu masih belum kerana rakyat Palestin menolak permintaannya untuk memeriksa peluru yang membunuh Shireen atau mengadakan siasatan bersama.

Bercakap kepada pemberita di Geneva pada hari Jumaat, jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR), Ravina Shamdasani berkata, pihaknya mendapati “tembakan yang membunuh mangsa dan mencederakan rakan sekerjanya, Ali Sammoudi datang daripada pasukan keselamatan Israel dan bukan dari sembarangan dan bukan tembakan oleh rakyat Palestin bersenjata, seperti yang pada didakwa oleh pihak berkuasa Israel”.

“Ia amat membimbangkan bahawa pihak berkuasa Israel tidak menjalankan siasatan jenayah,” tambahnya.

Shamdasani berkata maklumat itu datang daripada tentera Israel dan peguam negara Palestin.

Katanya, pada pagi kejadian, empat wartawan membelok ke jalan yang mana “beberapa peluru tunggal yang sudah disasarkan telah dilepaskan ke arah mereka dari arah pasukan keselamatan Israel.

“Satu peluru mencederakan Ali Sammoudi di bahu, satu peluru lagi mengenai kepala Shireen dan membunuhnya serta-merta,” ujarnya.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menjawab dakwaan OHCHR dengan mengatakan badan itu tidak dapat membuktikan pihak mana yang menembak Shireen.

“Siasatan IDF menyatakan bahawa wartawan itu sama sekali tidak ditembak dengan sengaja dan tidak mungkin untuk menentukan sama ada dia dibunuh oleh lelaki Palestin bersenjata yang menembak secara rambang di kawasannya atau secara tidak sengaja oleh seorang askar IDF,” ujarnya.

Israel berkata, ia telah mengenal pasti senjata askar yang mungkin telah melepaskan tembakan, tetapi ia tidak dapat dipastikan tanpa menganalisis peluru.

Rakyat Palestin pula mengatakan mereka tidak akan menyerahkan senjatanya kerana mereka tidak mempercayai Israel.

Shamdasani berkata, OHCHR “tidak menemui maklumat yang menunjukkan terdapat aktiviti oleh rakyat Palestin bersenjata di sekitar kawasan wartawan”. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast