Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan apakah peranan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dilantik setahun lalu dalam membantu kerajaan membendung inflasi.

Ini kerana, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu mendakwa, beliau belum nampak apa-apa pelan pemulihan ekonomi yang Muhyiddin bentang atau cadangkan, bukan sahaja ketika krisis inflasi hari ini, tetapi sejak hari pertama pelantikan beliau.

Soal beliau, adakah pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN yang bertaraf menteri berbaloi dengan jawatan, gaji dan elaun yang diterimanya tiap-tiap bulan.

”Atau adakah pelantikan Muhyiddin itu sekadar mahu beri dia satu kedudukan dan gaji supaya dia tidak terus dilupakan selepas diturunkan dari takhta Perdana Menteri?,” soalnya sambil menambah, bekas perdana menteri itu lebih sibuk bermain politik, mengadu domba dan memburukkan orang lain daripada membuat kerja sebagai Pengerusi MPN.

Justeru, tak hairanlah keadaan negara dan rakyat tak pulih-pulih pun walaupun Muhyiddin diberi tanggungjawab besar untuk memulihkan ekonomi negara dalam tempoh pandemik dan peralihan ke fasa endemik sekarang ini, tambahnya.

Nur Jazlan mendakwa, kerusi empuk yang Muhyiddin duduki itu juga sudah menjadi satu beban besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas Pengerusi Kira-kira Wang Negara ini turut mempersoalkan kenyataan Muhyiddin yang memberi kerajaan ruang untuk menangani inflasi.

”Dia ingat inflasi seperti ini boleh diselesaikan dalam masa sebulan dua sahaja? Dia ingat sebelum habis penggal bulan Mei tahun depan, inflasi ini boleh pulih?

”Masalah inflasi dan kemelesetan ini tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat dan mungkin ia akan berlarutan sampai tahun 2024. Malangnya PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya Jun 2023.

”Muhyiddin dan MPN yang dipilih kalangan kroni beliau pula tidak memberikan keyakinan bahawa masalah inflasi boleh diselesaikan sebelum tempoh akhir PRU15 tahun depan,” ujarnya.

Nur Jazlan berkata, sekarang rakyat marah dan akan menyalahkan kerajaan dan kalau PRU15 dibuat tahun depan di tengah-tengah kemelesetan sudah tentu UMNO akan dipersalahkan kerana perdana menteri daripada UMNO dan bukan Pengerusi MPN atau menteri-menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap portfolio ekonomi.

“Kalau begitulah tahap pemikiran seorang Pengerusi MPN, maka makin cepat jahanam dan hancurlah Malaysia jika terus dibiarkan diterajui oleh seorang pemimpin seperti dia.

”Mungkin ramai sudah lupa sebenarnya Muhyiddin juga adalah Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) pada 11 Mac 2020 iaitu ketika dia menjadi PM dan memiliki kuasa penuh. Jadi saya nak tanya, selama 3 tahun sebagai Pengerusi MTE dan setahun sebagai Pengerusi MPN, apakah kejayaan yang pernah Muhyiddin buat? KOSONG!!!,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan peranan Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang didakwa seperti tidak ada fungsi atau memberi sumbangan ketika negara sedang bergelut dengan isu inflasi ini.

”Apa yang mereka buat? Kalau isu bekalan ayam, isu kenaikan harga dan subsidi minyak masak pun terpaksa PM yang tampil ke depan untuk menyelesaikannya, untuk apa PM lantik mereka semua.

”Adakah Muhyiddin dan menteri-menteri Bersatu ini mahu mensabotaj dan mencalarkan reputasi serta kredibiliti PM di mata rakyat dengan membiarkan rakyat menuding jari kepada PM seorang saja?

”Mungkin Muhyiddin masih memasang angan-angan untuk kembali menjadi PM dengan memburukkan imej PM dari UMNO. Muhyiddin cuba menangguk di air keruh dan cuba ‘melemaskan’ PM untuk mencapai matlamatnya,” dakwanya lagi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, dalam situasi kemarahan rakyat terhadap pelbagai isu, ia sebenarnya secara tidak langsung memberi tempias negatif kepada UMNO kerana kerajaan hari ini diketuai oleh wakil daripada parti itu

Katanya, PM berada dalam dilema besar kerana tak boleh membuat rombakan Kabinet untuk menggantikan menteri-menteri yang tak menunjukkan prestasi selagi kumpulan jerung Bersatu masih terikat dalam Kerajaan PN.

“Akhirnya PM terpaksa telan segala keperitan, kena terima segala tohmahan dari rakyat kerana PM tak boleh membentuk sebuah kerajaan yang mantap dan kukuh. Jika keadaan ini tak ditangani segera, pastinya UMNO akan sekali lagi menjadi mangsa hukuman rakyat.

”Kalau sebelum ini situasi dan mood rakyat banyak berpihak kepada UMNO/BN, tak mustahil keadaan itu akan berputar 360 darjah memihak kepada PH atau PN.

”Sebab itulah UMNO mendesak agar PRU15 diadakan segera bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan cekap dapat dibentuk untuk menangani krisis inflasi dengan lebih cepat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast