Lokasi kejadian seorang wanita parah selepas ditimpa buah kelapa ketika melalui Jalan Teluk Kumbar, Pulau Pinang semalam.

TELUK KUMBAR – “Sudah banyak kali buah kelapa luruh atas jalan sehingga kemuncaknya semalam apabila buah terbabit menimpa pembonceng motosikal yang melalui jalan ini.

Demikian kata Md Ghazali Shaari, 62, saksi kejadian seorang wanita parah akibat ditimpa buah kelapa ketika motosikal diboncengnya melalui Jalan Teluk Kumbar di sini, semalam.

Menceritakan kejadian, pesara itu memberitahu, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika dia sedang melayan pelanggan di gerai durian miliknya berhampiran lokasi kejadian.

Md Ghazali.

“Kejadian berlaku sekelip mata, saya dengar bunyi jeritan serta dentuman jatuh sebelum melihat topi keledar serta seorang wanita tergolek atas jalan.

“Kenderaan banyak ketika itu dan saya bersama orang awam di lokasi kejadian segera memberhentikan kenderaan agar tiada pelanggaran berlaku ke atas mangsa.

“Saya kemudian menghubungi ambulans untuk tindakan lanjut namun mangsa tidak dialihkan dari lokasi kejadian kerana takut akan menyebabkan kecederaan lagi memandangkan kami tidak tahu keadaanya anggota badannya patah atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Md Ghazali berkata, mangsa kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans.

Mengulas lanjut Md Ghazali berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membuat kerja pemotongan pokok di kawasan berkenaan memandangkan ini bukan insiden pertama buah kelapa luruh di atas jalan.

“Memang selalu buah kelapa luruh dan ada kejadian terkena kenderaan saja. Semalam baru pertama kali insiden di mana buah itu menimpa pengguna jalan raya.

“Kita harap sangat pihak Yang Berhormat (YB) kawasan mengambil tindakan segera menangani masalah ini agar kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga durian berhampiran mendakwa, beliau hampir ditimpa buah kelapa dua minggu lalu.

Dia yang ingin dikenali sebagai Ong mendakwa, banyak pokok kelapa di tepi jalan utama Teluk Kumbar itu namun tiada tindakan pemotongan dilakukan oleh pihak berwajib.

“Sebelum ini sudah banyak kali buah jatuh tapi sekarang sudah kena orang baru ada tindakan.

“Apa-apa kita harap pemotongan pokok di bahu jalan ini mampu mengelakkan insiden sama berlaku lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette