Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Harga susu formula dan makanan protein merupakan antara bahan yang akan diberi tumpuan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengatasi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, masalah bantut tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja memberi cabaran kesihatan mental, fizikal mahupun pergaulan sosial tetapi lebih buruk, masalah bantut yang boleh membawa maut.

Katanya, atas isu itu, pihaknya mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak di Malaysia yang dianggotai KKM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Perpaduan Negara.

Ujarnya, Malaysia sedang berdepan dengan masalah beban berganda malpemakanan di mana terdapat peningkatan kepada masalah kekurangan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun serta peningkatan kadar obesiti dalam kalangan dewasa.

“Masalah ini berlaku hampir di semua negeri dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Putrajaya.

“Ini menunjukkan masalah ini merentasi semua kategori sosiodemografi sama ada bandar atau luar bandar, pendapatan isi rumah, kumpulan etnik, pekerjaan dan tahap pendidikan.

“Kita akan mencari jalan penyelesaian melalui jawatankuasa ini kerana mahu memastikan akses harga makanan protein dan susu mampu milik. Senang sahaja mahu meminta ibu bapa beli susu tetapi isunya, harga yang tidak mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu harga susu formula bagi mengatasi masalah bantut pada sidang media sempena pelancaran Program Media #AnakMalaysiaSihat, di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas sama ada terdapat isu bantut di Putrajaya, Khairy berkata, ia perlu kajian mendalam bagi mengenalpasti faktor sebenar.

Tambah beliau, sihat itu bukan gemuk tetapi sihat itu adalah berkaitan kanak-kanak sihat.

“Pelbagai faktor lain mempengaruhi kadar bantut seperti kadar celik kesihatan, persekitaran, budaya kerja, dan akses kepada penjagaan kanak-kanak.

“Ada sesuatu yang tidak betul kenapa Putrajaya dikenali antara yang mempunyai pendapatan tinggi di Malaysia tetapi berhadapan masalah bantut dan obesiti,” katanya.

Mengulas mengenai isu taska termasuk yang tidak berdaftar, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkaitan bagi mengenalpasti punca yang boleh ditangani.

“Seperti taska dan tadika berdaftar, KKM terbabit dalam menu pemakanan di mana pengusaha perlu ikut menu yang ditetapkan tetapi yang tidak berdaftar, kita tidak tahu.

“Maka, kita akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi memastikan permasalahan ini dapat diatasi dalam pelbagai perkara,” katanya. – MalaysiaGazette