Tangkap layar Twitter @datukhensem

KUALA LUMPUR – Nampaknya tumpuan netizen terhadap busana Perdana Menteri masih belum reda dengan mendedahkan harga baju yang dipakai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terbaharu di Twitter, warganet masih membuat pendedahan mengenai kemeja putih yang dipakai Ismail Sabri semasa pertemuan beliau dengan pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) awal hari ini.

Status tersebut dimuat naik pelayar Twitter @datukhensem dengan kapsyen “Sama ke tak? #KeluargaBurbery”.

Dalam ciapan itu, pelayar berkenaan turut melampirkan harga sebenar kemeja putih keluaran Burberry itu dengan harga RM2,390 sehelai.

Ismail Sabri dilihat memakai pakaian berjenama Burberry itu bersama kot biru tua sedang mengadakan mesyuarat dengan wakil TNB.

Penampilan Ismail Sabri sebelum ini menjadi perhatian  warganet dengan pelbagai pendedahan mengenai pakaian berjenama luar negara yang dipakai Ahli Parlimen Bera itu.

Antaranya baju kemeja merah jambu dengan harga RM6,900 semasa menghadiri Karnival Jom Heboh di Putrajaya pada minggu lalu.

Sebelum ini, Ismail Sabri turut menarik perhatian warganet apabila mengenakan busana bercorak hitam, biru dan putih semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Long di Tokyo, Jepun.

Dalam carian di laman sesawang jenama berkenaan, baju yang dipakai Ismail Sabri itu berharga RM5,500. – MalaysiaGazette