Siti Bainun Ahd. Razali

KUALA LUMPUR – Juruanalisis Seksyen Jenayah Komputer, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telefon bimbit yang diterima daripada pegawai penyiasat tidak diserahkan kepada pegawai lain termasuk saksi ke-10, Mior Samsul Abd Rahman.

Inspektor Yip Chang Ching selaku saksi ke-11 memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, telefon bimbit itu mengandungi lebih 15,000 gambar dan video termasuklah bukti melibatkan remaja kurang upaya, Bella.

“Saya setuju (pemicu dan DVD hanya diserahkan kepada Inspektor Mior). Saya setuju (telefon bimbit tidak diserahkan kepada Inspektor Mior),” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon cadangan daripada peguam bela, Hafidzah Hassan.

Terdahulu jelas Chang Ching, proses telefon bimbit berkenaan dikembalikan kepada Pegawai Penyiasat,  Inspektor Suhaili Mahad selepas diabstrakkan.

“Proses abstrakkan kandungan telefon bimbit itu kepada pendrive lebih kurang tiga jam juga. Kalau nak burned ke DVD pula lebih singkat lebih kurang 10 minit sudah selesai,” katanya lagi.

Pagi tadi, Mior selaku saksi ke-10 memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa gambar-gambar kecederaan yang dialami Bella yang dipaparkan di laman Facebook seorang aktivis wanita bukan dibocorkan oleh anggota polis.

Mior selaku Juruanalisis Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik PDRM tidak mengetahui gambar-gambar membabitkan kecederaan remaja itu disebarkan aktivis dikenali sebagai Mona Din di dalam Facebook miliknya pada 12 Ogos 2021 diperoleh daripada sumber mana.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saksi nafi pegawai polis lain sebarkan video Bella