Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A'zlan Abu Bakar bercakap kepada media mengenai serahan dokumen berkaitan penyalahgunaan wang parti oleh tiga Ahli Parlimen di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Tiga Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dicabar untuk menyaman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika kenyataannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa lalu bahawa mereka melakukannya untuk menyelamatkan diri daripada disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak benar.

Desakan tersebut dibuat Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar bersama badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Tuntut Malaysia bagi memastikan ia bukan perkara yang remeh atau hanya boleh dinafikan melalui kenyataan.

Menurut A’zlan, jika kenyataan Presiden UMNO itu tidak diberi perhatian untuk tindakan lanjut oleh SPRM ia dibimbangi akan menjejaskan kredibiliti suruhanjaya tersebut.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli), Datuk MAs Ermieyati Ghazali (Masjid Tanah) dan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).

“Kita tidak mahu mereka ini sekadar keluarkan kenyataan media iaitu dengan menafikan tidak. Ia bukan perkara yang boleh dianggap remeh kerana perkara ini akan menyebabkan integriti, kredibiliti suruhanjaya itu tercalar.

“Maka dokumen yang kita sertakan ini adalah susulan daripada kenyataan sumpah Ahmad Zahidi di mahkamah. Selain itu, beliau juga bersedia mengemukakan bukti seperti apa yang disebutkan beliau terhadap nama-nama yang dinyatakan itu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menyerahkan dokumen berkaitan penyalahgunaan wang parti oleh tiga Ahli Parlimen UMNO kepada SPRM, di sini, hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar bersama Gerakan Tuntut Malaysia bergambar sambil menunjukkan dokumen berkaitan penyalahgunaan wang parti oleh tiga Ahli Parlimen di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2022.

Pada Selasa lalu, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tiga Ahli Parlimen UMNO keluar parti dan menyertai Parti Bersatu selepas PRU14 kerana ingin menyelamatkan diri daripada disiasat SPRM.

Beliau berkata ketiga-tiga Ahli Parlimen itu adalah antara ahli UMNO yang memenangi kerusi Parlimen pada PRU14.

Tambah Ahmad Zahid, individu yang terlibat telah diberi amanah mengendalikan dana PRU namun wang berkenaan tidak digunakan untuk PRU bagi pergerakan Puteri UMNO.

Menurut A’zlan, tindakan itu juga bertujuan menggesa SPRM membuka kertas siasatan serta meneliti lebih terperinci akuan atau kenyataan sumpah yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid.

“Kita tahu ketiga-tiga ahli parlimen ini awalnya telah disiasat SPRM, tetapi setelah mereka melompat ke Bersatu pada PRU14, jelas memperlihatkan mereka ini bebas daripada segala tuduhan mahupun kesilapan yang pernah dibuat seperti yang dikatakan Presiden UMNO.

“Jadi biarlah dokumentasi ini didedahkan oleh SPRM sendiri dan saya percaya, dokumentasi ini akan membuat sesetengah pihak tidak akan senang duduk,” ujarnya. – MalaysiaGazette