logo mahlamah

PEKAN – Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang guru di Kilometer 55 Jalan Kuantan-Segamat di sini, minggu lepas.

Tertuduh Yeoh Boon Chin, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majisret Wahidah Zainal Abidin.

Yeoh yang beralamat di Gemas, Negeri Sembilan didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 petang, 26 Jun semasa memandu kenderaan bernombor pendaftaran WWR818 yang menyebabkannya tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian Azlina Mohamad, 51, yang merupakan penumpang kereta jenis Myvi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, Yeoh yang memakai pakaian lokap polis juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kedua iaitu  memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada anak Azlina, Ain Shafiah Ahmad Shahar 21, di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 44(1A)(a) akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Osman Abdullah yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM30,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM1,700 sebulan.

“Tertuduh merupakan seorang duda anak satu dan berjanji akan hadir setiap kali kes disebut di mahkamah,” katanya.

Majistret membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 30 Ogos sebagai sebutan semula bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Natasha Saharrudin. – Bernama