Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin semasa meninjau harga pasaran siling ayam di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 JULAI 2022

KUALA LUMPUR – Kebanyakan peniaga dan pengguna di ibu kota bersetuju dengan penetapan baharu harga siling ayam RM9.40 sekilogram yang berkuat kuasa hari ini.

Menerusi tinjauan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Pasar Awam Chow Kit dan beberapa pasar raya di sini mendapati, kedua-dua pihak berpuas hati dengan harga siling berkenaan.

Ariffin Samsudin

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, ini kerana penetapan harga berkenaan dapat menampung kos perniagaan mereka sekali gus pengguna tidak perlu lagi menanggung caj pemotongan yang tinggi.

“Hari ini para peniaga tidak lagi mengenakan caj pemotongan. Berdasarkan pemeriksaan, peniaga juga beri jaminan tidak kenakan caj pemotongan kerana harga siling baharu ini boleh tampung kos mereka.

“Walaupun caj pemotongan tidak dihalang KPDNHEP tapi bila peniaga tidak kenakan caj maka pengguna berpuas hati sebab tidak lagi terbeban,” katanya selepas Aktiviti Pemeriksaan Bekalan dan Harga Barang Keperluan Asas hari ini.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin menunjukkan plakad harga ayam semasa mengadakan tinjauan harga pasaran siling ayam di Pasar Raya AJ Best, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 JULAI 2022

Dalam tinjauannya, Ariffin turut memuji tindakan sebuah pasar raya yang masih mengekalkan harga siling lama RM8.90 sekilogram dalam usaha meringankan beban pengguna.

“Saya puji usaha Pasar Raya AJ Best yang masih lagi mengenakan caj RM8.90 tanpa caj pemotongan. Ini adalah inisiatif yang baik iaitu mereka bersama membantu kerajaan meringankan beban rakyat walaupun kerajaan tetapkan harga RM9.40 sekilogram,” ujarnya.

Selain itu, Ariffin berkata, pihaknya memberi jaminan sebanyak 48,000 kilogram minyak masak paket akan diedarkan bagi meringankan beban pengguna golongan B40 di ibu kota.

“Semalam, kita ada stok minyak masak paket 48,000 kilogram yang cukup menampung penduduk B40 di Kuala Lumpur. Jadi setiap hari pertama pada awal bulan adalah permulaan kuota baru, maka pukul 10 pagi biasanya kilang-kilang akan hantar ke seluruh pasar dan pasar raya,” jelasnya.

Pada Rabu lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung bermula hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji). – MalaysiaGazette