Kanak-kanak tercampak ketika kereta dinaiki membuat pusingan ‘U’ di simpang lampu isyarat, kawasan Green Valley, Jalan Tasik Puteri Rawang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan seorang kanak-kanak tercampak keluar dari sebuah kereta yang ditularkan semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian itu berlaku ketika kereta Perodua Myvi yang dinaiki kanak-kanak berkenaan membuat pusingan U di simpang lampu isyarat, kawasan Green Valley, Jalan Tasik Puteri Rawang, Selangor.

Katanya, kanak-kanak berkenaan telah diselamatkan oleh seorang lelaki.

“Sorang lelaki bangsa tidak pasti telah membantu untuk mengangkat mangsa yang tertiarap di atas jalan dan kemudian diserahkan kepada seorang perempuan warga tempatan dipercayai ibu kepada mangsa,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu iaitu mana-mana orang bertanggungjawab ke atas seseorang kanak-kanak didapati
menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi, sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau melihat kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau 03-61262222.- MalaysiaGazette