Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Datuk Nur Jazlan Mohamed mengecam Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwanya sebagai lemah, anggap jahil politik susulan kritikan terbukanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu membalas kritikan itu dengan mempersoalkan yang mana lebih baik – beliau yang jahil politik atau Presiden Pas yang bodoh dan sombong.

Dalam penjelasannya, Nur Jazlan akui kenyataan Abdul Hadi betul bahawa Ismail Sabri memang perlu memikul segala masalah dan isu negara kerana barisan menteri yang ada dalam kerajaan hari ini memang tak boleh harap.

Apatah lagi, dakwanya, menteri dan timbalan menteri yang dilantik dari kalangan pemimpin Pas, langsung tak ada kebolehan memimpin dan menguruskan kementerian masing-masing tapi berlagak mengalahkan menteri Eropah.

Dakwa beliau, menteri-menteri daripada Pas ini hanya seronok dapat bergaya dengan suit mahal, naik kereta mewah, duduk di Putrajaya, makan gaji dan dapat layanan VVIP.

Tapi apabila buat kerja, semuanya tak reti dan gagal.

Sambil memberi contoh, Nur Jazlan mendakwa semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan Menteri Undang-Undang tetapi kantoi tak boleh nak jawab dalam Dewan Rakyat mengenai pengisytiharan Darurat.

”Berpusing-pusing dia bercakap dalam Parlimen bila kena asak oleh wakil pembangkang. Macam manalah seorang lawyer yang kononnya arif pasal undang-undang dan Perlembagaan boleh terkantoi macam gitu. Memalukan!,” katanya.

Bekas Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula pernah kena kecam kerana menyuruh rakyat Kelantan tadah air hujan untuk kegunaan harian, bagi menyelesaikan masalah air.

”Macam gitu saja level pemikiran menteri daripada Pas? – Kesian kat rakyat. Mereka harapkan penyelesaian yang holistik daripada kerajaan negeri dan menteri, sekali menteri bagi idea ‘rubish’.

”Oklah. Mungkin kementerian-kementerian yang dipegang oleh wakil Pas itu bukan menjadi kepakaran mereka sebab mereka ini terdiri daripada lebai dan guru-guru agama.

”Kepakaran mereka adalah dalam bidang keagamaan dan hukum hakam. Tapi masalahnya, Menteri Agama yang dilantik daripada wakil Pas juga ke laut,” dakwanya apabila Senator Datuk Idris Ahmad bertelagah dengan Istana Selangor berhubung sambutan perayaan Bon Odori.

Katanya, Idris sarankan umat Islam tak sertai Festival Bon Odori di Shah Alam dan Pulau Pinang kerana dakwa beliau acara itu dipengaruhi unsur agama lain.

Tapi Sultan Selangor menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor jangan bertindak demikian.

”Dewan Ulama dan pemimpin Pas macam ‘tak setuju’ dengan titah Tuanku itu. Sebab mereka rasa mereka lebih alim dan lebih arif pasal hukum hakam agama.

”Menteri Agama Pas ingat Tuanku sesuka hati saja keluarkan titah tanpa rujukan kepada pandangan para ulama. Mungkin Idris dan pemimpin Pas lupa bahawa Sultan Selangor merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam. Pastinya baginda buat rujukan dahulu sebelum menitahkan sesuatu perkara.

”Itulah jadinya bila isu agama pun Menteri Agama Pas nak jadikan modal politik sehingga umat keliru dan mengelirukan,” tambahnya.

Februari lalu, menurut Nur Jazlan, wakil Muslimat Pas yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah dikecam selepas beri petua kepada pasangan suami isteri untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga dengan menyarankan suami boleh pukul lembut isteri untuk menegur.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai itu juga berkata, Abdul Hadi yang dilantik sebagai Duta Khas Timur Tengah bertaraf menteri pun lagi teruk.

”Hadi dilantik jadi Duta Khas Timur Tengah tapi ‘pejabat’ dia di Negeri Pantai Timur. Pelik sungguhkan? Macam mana dia uruskan kerja-kerja sebagai duta. Semua duta lain buat kerja dan duduk di pejabat di negara-negara mereka ditugaskan. Tapi Duta Khas yang seorang ni boleh pula duduk di Marang.

”Begitulah kualiti dan kredibiliti para menteri-menteri ap Ayam daripada Pas sehingga menjadi beban batu besar kepada PM. Mereka yang tak reti buat kerja, mereka yang tak cekap dan mereka yang buat silap tapi akhirnya kerajaan serta PM yang kena tanggung.

”Bagi saya, menteri-menteri Pas dan Hadi ni lebih jahil politik berbanding saya tapi mereka pandai memanipulasi semua benda untuk nampak mereka cerdik dan berwibawa,” dakwa beliau lagi. – MalaysiaGazette