Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menjawab kertas soalan Bahasa Melayu pada hari pertama SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 02 MAC 2022.

PEMBENTANGAN laporan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini telah mengejutkan banyak pihak, di sebalik kejayaan membanggakan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2021 yang mencapai keputusan cemerlang namun terdapat sekitar 10% calon-calon SPM yang boleh di anggap gagal.

Laporan oleh KPM menyaksikan daripada 407,097 calon SPM secara keseluruhan, 12% calon-calon SPM gagal mendapatkan sijil kerana gagal matapelajaran wajib manakala 17% pula gagal mata pelajaran Sejarah. Lebih menyedihkan terdapat 6% calon SPM yang tidak hadir peperiksaan langsung. Keadaan ini sungguh membimbangkan kerana ia dapat dimanifestasikan kepada kecenderungan kira-kira 10% calon SPM untuk gagal dan tidak menyukai matapelajaran Sejarah.

Pujian patut diberikan kepada KPM kerana terus tegas untuk mempertahankan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM, kegagalan golongan belia untuk sekurang-kurangnya memahami sejarah (melalui mata pelajaran yang diajar di sekolah) bakal menyebabkan penghakisan semangat patriotik dan perpaduan. Keadaan golongan belia bukan sahaja gagal dalam mata pelajaran Sejarah malah tidak hadir untuk menduduki peperiksaan (dalam konteks SPM) menjadi hujah sesetengah pihak bahawa mata pelajaran tersebut membosankan.

Namun jika dilihat daripada sudut pandangan berbeza, tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan telah menyangkal hujah bahawa golongan belia tidak sukakan sejarah, kehadiran golongan belia dengan busana tradisional untuk menonton filem tersebut menunjukkan kecenderungan sebenar golongan belia terhadap sejarah dan jati diri mereka. Di sebalik keghairahan golongan belia meraikan tayangan fileh tersebut, namun terdapat segelintir dari mereka yang gagal dalam mata pelajaran sejarah. Keadaan ini dapat ditafsirkan sebagai kegagalan untuk membangkitkan keghairahan golongan belia untuk mempelajari Sejarah secara akademik, namun minat dan kecenderungan sebenar golongan belia terhadap sejarah dan jati diri mereka diluar konteks akademik adalah sangat tinggi.

Justeru memandangkan KPM sedang dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan intervensi yang bersesuaian bagi mengurangkan kegagalan calon SPM dalam mata pelajaran Sejarah, adalah dicadangkan supaya usaha dilakukan bagi sebuah pendekatan pengajaran dibangunkan untuk guru-guru mata pelajaran Sejarah supaya penyampaian dan pengajaran mereka mampu menarik minat pelajar.

Mata pelajaran Sejarah tidak boleh lagi menjadi sebuah pembelajaran yang mengingati tarikh-tarikh penting. Mata pelajaran tersebut sepatutnya menonjolkan sifat-sifat keperwiraan yang telah direkodkan oleh tokoh-tokoh yang terkandung di dalam lipatan sejarah. Sejarah Melaka diingati dari sudut tarikh dan kejayaan Portugis menawan Kota Melaka, namun wira-wira yang bermatian mempertahankan kota tersebut tidak pernah diketahui di dalam buku-buku sejarah. Naratif pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah perlu diperbetulkan, masyarakat menghormati pegawai-pegawai KPM yang bijaksana dalam merangka kurikulum mata pelajaran tersebut namun perlu diakui terdapat kelemahan cara pengajaran mata pelajaran Sejarah terkini yang boleh diperbaiki.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sanggup bersama-sama KPM membantu menyumbang tenaga dan idea untuk memperbaiki kelemahan tersebut. Menjadi kepercayaan MBM bahawa mata pelajaran Sejarah perlu diperkasakan bagi memastikan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara pada masa hadapan terus lestari dan berdaulat.

Oleh: Mohd Fauzi Fadzil
Exco Majlis Belia Malaysia (MBM)/Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan MBM