Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya (tengah) bersama Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee (tiga kiri) bergambar kenangan dengan sebahagian peserta usahawan pada Majlis Perasmian TUBE@PEMERKASA di SME Corp Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) di bawah SME Corp Malaysia (SME Corp) berjaya melahirkan 6,782 usahawan Bumiputera di seluruh negara.

Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, sejumlah RM140.6 juta jualan direkodkan TUBE sejak dilaksanakan pada 2014.

“Daripada jumlah tersebut, 6,633 usahawan (98 peratus) dilatih untuk menceburi bidang perniagaan yang didaftarkan.

“Sejumlah RM43.23 juta geran perniagaan telah disalurkan kepada peserta yang berjaya dan hasilnya program TUBE telah mencatatkan nilai jualan berjumlah RM104.6 juta sehingga Jun tahun ini,” kata menterinya, Tan Sri Noh Omar.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Operasi, Datuk Muslimin Yahya.

Untuk rekod, program ini telah berjaya mewujudkan 12,242 peluang pekerjaan.

Sebanyak RM5 juta daripada dana berjumlah RM10 juta telah diperuntukkan bagi program ini dengan agihan RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian TUBE@PEMERKASA di SME Corp Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2022.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, pihaknya kini melebarkan sayap dalam merintis usahawan dalam bidang keselamatan makanan negara.

Katanya, pengukuhan sektor keselamatan makanan dilihat penting bagi membantu kerajaan meningkatkan bekalan makanan di dalam negara.

“Untuk TUBE Pemerkasa kali ini, kita ingin menumpukan kepada industri yang lebih kepada sektor agro makanan iaitu keselamatan makanan supaya kita dapat mengukuhkan lagi keselamatan makanan di negara ini.

“Langkah ini bagi memastikan rantaian makanan di negara ini diperkasakan lagi supaya menjadi lebih stabil.

“Ini tidak bermakna sektor lain kita ketepikan dan kita masih lagi mengharapkan agar sektor pembuatan juga digalakkan,” katanya dalam sidang media bersama wartawan, hari ini.

Dalam pada itu, TUBE Pemerkasa kali ini turut menyasarkan jualan melebihi RM150 juta bagi akhir tahun ini.

“Kalau dari segi peratusan mungkin kita tengok daripada meningkat 10 peratus ke atas. Kalau daripada RM140 juta akan naik RM150 juta.

“Kalau tengok Keluaran Dalam Negara Kasar , suku pertama tahun ini 5.0 peratus berbanding 3.6 peratus suku pertama tahun lepas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette