Takiyuddin Hassan emergency Covid-19 parliament sitting
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas komited untuk meneruskan Agenda Penyatuan Ummah dalam kalangan umat Melayu dan Islam di negara ini, sekali gus mengukuhkan perpaduan nasional di antara semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia selaras dengan titah nasihat dan pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar menghentikan perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

“Pas akur dengan titah Baginda bahawa Agama Islam sentiasa menggalakkan manusia bersatu padu dan tidak berpecah belah selaras dengan perintah yang terkandung dalam Kitab Suci Al-Qur’an,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan baginda terhadap perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu ketika ini yang begitu ketara sehingga boleh mengancam perpaduan dan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik negara.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan dan menggesa agar perbalahan antara orang Melayu dihentikan segera.

Dalam pada itu, Pas juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli dan pimpinannya yang cuba menjejaskan perpaduan rakyat di negara ini.

“Pas juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pimpinan dan ahlinya yang bertindak membelakangkan aspek perpaduan serta mendorong berlakunya perpecahan di kalangan masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette