Bumbung runtuh akibat ribut di Pusat Jagaan Warga Istimewa Kempas, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU- “Syukur sangat-sangat waktu kejadian (ribut) mereka masuk di dalam sebelum bumbung ruang rehat  tercabut.”

Itu detik cemas yang diceritakan Pengerusi Pusat Jagaan Warga Istimewa Kempas, Jefri Abdul Rahman dalam kejadian di Jalan Banjaran 6, Kempas di sini hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian 10.30 pagi tadi, seperti kebiasaan kepada 40 penghuni di pusat jagaan itu yang terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU) akan berehat di bahagian ruang rehat berbumbung di premis berkenaan.

Ia merupakan antara aktiviti harian kepada penghuni untuk mendapatkan cahaya matahari, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kejadian ribut pertama itu berlaku dalam sekelip mata.

“Apabila hujan lebat melanda kawasan ini, kami meminta kesemua mereka untuk memasuki ke dalam rumah. Selang beberapa minit terdengar bunyi dentumam kuat sebelum kami mendapati bumbung di ruang rehat tercabut.

“Kami bersyukur kerana semua penghuni pusat jagaan dalam keadaan selamat, ” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Keadaan ruang rehat Pusat Jagaan Warga Istimewa Kempas sebelum ribut  yang menjadi tempat warganya menjalankan aktiviti di johor Bahru.

“Apa yang dirisaukan apabila penghuni kami di sini ramai OKU jadi faham sahajalah pergerakan mungkin agak terbatas, kalaulah kata mereka masih duduk di situ tak tahulah.

“Tapi itulah orang kata tuhan masih sayang mereka, saya tak tahu nak cakap apa,” katanya.

Walaupun tiada sebarang kecederaan berlaku namun ada antara penghuninya dilihat berada dalam keadaan trauma kerana bunyi kuat berlaku semasa insiden berkenaan.

Menurutnya juga, dek kerana kejadian itu kos pihaknya mengalami kerugian kira-kira RM30,000.

“Untuk itu saya mengharapkan agar ada pihak seperti agensi kerajaan atau orang ramai menyumbang dana bagi membolehkan kami menjalankan kerja pembaikpulihan dengan segera,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Pusat Jagaan Warga Istimewa Kempas Johor Bahru Johor di akaun Hong Leong Bank 22800028383. – MalaysiaGazette