Arjunaidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis menafikan telah menahan dua pegawainya sendiri dan merampas sejumlah wang tunai dalam serbuan sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya seperti tersebar di media sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman melakukan serbuan itu dan ada dua pegawai polis di pusat hiburan berkenaan.

“Semasa serbuan dilakukan terdapat dua orang pegawai kanan polis berpangkat asisten superintendan dan seorang inspektor yang bertugas di Petaling Jaya dan Bukit Aman turut berada di dalam premis hiburan itu.

“Polis Kontinjen Selangor mengesahkan tiada sebarang tangkapan atau rampasan dalam bentuk wang tunai yang dibuat terhadap kedua-dua pegawai berkenaan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata Arjunaidi, kes itu akan dirujuk kepada JIPS untuk melihat kesalahan dari sudut tatatertib.

Beliau dalam masa sama menegaskan  polis tidak akan sama sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang melanggar peraturan atau mencemarkan imej pasukan.

Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan yang ditetapkan.

Terdahulu media melaporkan terdapat dua pegawai polis ditahan dalam satu serbuan di pusat hiburan di Petaling Jaya lewat malam tadi.

Mereka ditahan dalam serbuan dan pemeriksaan oleh pasukan JIPS Bukit Aman serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Sewaktu serbuan, kedua-dua pegawai berada di dalam sebuah bilik bersama dua orang wanita berumur lingkungan 32 hingga 33 tahun.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua pegawai dapati negatif dadah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua pegawai polis ditangkap di pusat hiburan