Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Persaingan sengit dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 Mei lalu tidak mencetuskan sebarang ‘permusuhan’ yang ketara.

Bahkan kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika ada persaingan sudah tentu ada penyokong masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menjejaskan proses pemilihan calon yang bertanding kerana semuanya berlangsung secara telus, bebas dan adil.

“Memang, kalau ada persaingan tentu ada penyokong masing-masing, ada kekuatan, ada kelemahan masing-masing. Yang penting ia tidak mencetuskan permusuhan yang ketara. Ia boleh meredakan,” katanya menerusi rakaman video hari ini.

Rakaman wawancara itu akan disiarkan secara bersiri menerusi portal rasmi kerajaan Selangor dan YouTube Selangor TV mulai 13 hingga 15 Julai ini.

Dalam wawancara itu, Anwar yakin pemilihan PKR tidak menjejaskan parti seperti pemilihan sebelum ini.

Beliau menjelaskan, pemilihan itu diterima ahli dengan mengekal semangat untuk mempertahankan idealisme.

“Yang penting ia tidak mencetuskan permusuhan yang tajam berbanding pengalaman 2018 yang lalu,” katanya.

Pada pemilihan Mei lalu, seramai 1,118,423 ahli PKR layak mengundi dan 11,282 calon menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayap.

Anwar berjaya mengekalkan jawatan sebagai presiden bagi tempoh 2022/2025 selepas menang tanpa bertanding manakala bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan timbalan presiden.

Keputusan pemilihan itu turut menampilkan empat Naib Presiden yang menang iaitu Datuk Seri Amirudin Shari, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Jawatan Ketua Wanita PKR dimenangi Fadhlina Sidek dan timbalannya, Juwairiya Zulkifli manakala tiga naib ketuanya, Wasanthee Sinnasamy, June Leow Hsiad Hui dan Sangetha Jayakumar.

Ketua Angkatan Muda Keadilan pula dimenangi Adam Adli Abd. Halim dan timbalannya, Muhammad Kamil Munim serta tiga naib ketua disandang oleh Atyrah Hanim Razali, Pravin Murali dan Prasanth Kumar Brakasam. – MalaysiaGazette