Seorang maut manakala tiga parah selepas sebuah porsche hilang kawalan dan merempuh sebuah proton SUV X70 dan penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Loke Yew menghala ke Pusat bandar berdekatan Flat Sri Sabah awal pagi tadi. Ihsan IPD Cheras.

KUALA LUMPUR – Seorang maut manakala tiga individu cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Loke, Yew, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, dalam insiden jam 2.10 pagi itu membabitkan Porsche 911 Carrera 4S-A, Proton X70 dan motosikal Honda EX5.

“Siasatan awal mendapati kereta mewah jenis Porsche 911 Carrera 4S-A yang dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah pusat bandar menghala ke Bulatan Cheras secara tiba-tiba telah hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan serta melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.

“Kereta berkenaan kemudian berpusing memasuki laluan bertentangan serta melanggar kereta Proton X70 dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang sedang dalam perjalanan  dari arah Bulatan Cheras menghala ke pusat bandar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, akibat kemalangan tersebut pemandu Proton X70 yang merupakan merupakan pegawai bank berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Katanya, pemandu dan penumpang Porsche berusia 28 tahun serta penunggang motosikal berusia 22 tahun turut mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk rawatan.

“Kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 sementara orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana- mana Balai Polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette