TOKYO – Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berada dalam tenat selepas ditembak semasa menyampaikan ucapan kempen pilihan raya di bandar Nara, kata Perdana Menteri negara itu, Fumio Kishida.
Kishida mengutuk serangan pada hari ini dan mendoakan Abe, 67, dalam keadaan selamat.
Motif serangan itu belum diketahui, tambah Kishida, yang memendekkan kempennya di wilayah utara Yamagata dan pulang dengan helikopter ke kediaman rasminya di sini.
Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno memberitahu wartawan, Abe, yang berada di Nara berkempen menjelang pilihan raya Ahad ini ditembak kira-kira jam 11.30 pagi (02:30 GMT).
“Tindakan kebiadaban seperti itu tidak boleh diterima,” kata Matsuno.
Penyiar awam NHK, memetik jabatan bomba tempatan berkata, Abe “tidak menunjukkan tanda-tanda vital tubuh”.
Dalam kesihatan, tanda-tanda itu ialah denyut nadi, tekanan darah, kelajuan pernafasan dan suhu tubuh.
Memetik polis Jepun, NHK berkata, Abe kelihatan ditembak dari belakang dengan senapang patah dan berkata wartawannya di tempat kejadian mendengar “kedengaran seperti pistol meletus dua kali”.
Abe rebah di jalan, dengan beberapa pengawal keselamatan berlari ke arahnya.
Bekas Perdana Menteri itu dilihat sedang memegang dadanya apabila dia rebah, dengan bajunya berlumuran darah.
Kyodo News berkata, Abe tidak sedarkan diri dan kelihatan mengalami serangan jantung.
Agensi itu berkata, Abe diserang di jalan berhampiran Stesen Yamatosaidaiji di Nara.
Seorang suspek lelaki berusia 41 tahun telah ditahan kerana disyaki cubaan membunuh, kata NHK.
Suspek, yang dikenali sebagai Yamagami Tetsuya, memegang pistol, yang dirampas polis, tambahnya.
Abe berkhidmat sebagai Perdana Menteri Jepun antara Disember 2012 hingga September 2020, menjadikannya perdana menteri paling lama berkhidmat di negara itu.
Berasal daripada keluarga politik yang kaya termasuk bapa sebagai menteri luar dan datuk yang berkhidmat sebagai perdana menteri, Abe terkenal dengan dasar “Abenomics” yang menampilkan pelonggaran monetari dan perbelanjaan fiskal yang berani.
Beliau juga meningkatkan perbelanjaan pertahanan selepas bertahun-tahun merosot dan mengembangkan keupayaan tentera untuk memproyeksikan kuasa di luar negara. – Reuters