Bangunan Bank Negara Malaysia.

KUALA LUMPUR – Fitch Solutions menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan lagi kadar dasar semalamannya (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.75% menjelang akhir 2022, selepas meningkatkannya sebanyak 25 mata asas kepada 2.25% pada 6 Julai lalu.

Menurutnya, walaupun inflasi kekal tidak berbahaya di Malaysia disebabkan campur tangan kerajaan, tetapi ringgit berada di bawah tekanan kerana menurun secara berterusan.

Faktor ini akan menambahkan lagi tekanan kepada BNM untuk menormalkan pendirian monetari akomodatifnya.

Dalam nota penyelidikannya, Fitch berkata, ekonomi Malaysia masih kekal pada landasan untuk pemulihan yang kukuh, yang sepatutnya menyediakan ruang mencukupi kepada bank pusat untuk menormalkan dasar monetarinya.

”Pada mesyuaratnya pada 6 Julai, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan penanda aras OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25%, sejajar dengan konsensus Bloomberg dan jangkaan kami.

“Berikutan kenaikan kadar berturut-turut berjumlah 50 mata asas secara terkumpul, kami menaikkan unjuran untuk kadar dasar Malaysia mencapai 2.75% menjelang akhir 2022, yang akan memerlukan kenaikan nilai 50 mata asas tambahan pada suku kedua 2022,” katanya.

Fitch Solutions berkata, inflasi utama kekal secara relatifnya tidak berbahaya berikutan campur tangan kerajaan.

Namun, firma penyelidikan ini berkata ringgit terus berdepan tekanan menurun dalam menghadapi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang semakin agresif, sepatutnya mendorong BNM untuk menaikkan kadar faedah lagi bagi menjaga kestabilan ringgit.

“Tambahan pula, kami percaya pemulihan ekonomi Malaysia kekal di landasan yang betul, akan menyediakan ruang dasar yang mencukupi untuk bank pusat mengetatkan lagi dasar,” katanya.

Fitch Solutions berkata, subsidi bahan api menyeluruh dan kawalan harga ke atas barangan yang termasuk dalam bakul inflasi, menyebabkan Malaysia dapat mengawal inflasi dikawal setakat tahun ini, dengan purata hanya 2.4% dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Namun, inflasi di Malaysia berada pada aliran menaik sejak Mac 2022, dengan kadar inflasi 2.8% pada Mei meningkat daripada 2.4% pada April,” ujarnya.

Fitch menjangkakan inflasi akan terus meningkat berikutan kenaikan harga komoditi dan peningkatan permintaan dalam negeri.

Ia mengunjurkan inflasi kepada purata 2.8% untuk keseluruhan 2022, iaitu dalam julat ramalan BNM iaitu 2.2-3.2%. untuk tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast